GAMBAR: Abd Razak Aid

BERITA baik bagi umat Islam di Melaka selepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memberi kebenaran kepada maksimum 500 jemaah untuk menunaikan solat di tujuh masjid kerajaan mulai esok.

Kebenaran itu selaras dengan peralihan Melaka ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kehadiran ke masjid kariah dan institusi pula dihadkan kepada 200 orang manakala 100 jemaah di surau.

Kata beliau, ketetapan bagi jumlah maksimum itu adalah bagi jemaah solat Jumaat, solat fardhu dan solat jenazah.

Walaupun begitu, beliau berkata, jumlah maksimum terhad kepada keluasan masjid berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Contohnya, jika masjid hanya mampu memuatkan 300 jemaah dengan penjarakan, maka jumlah maksimum 300 orang adalah terpakai.

“Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan ventilasi dan sistem pengudaraan yang baik di masjid dan surau bagi mengelakkan risiko jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Selangor benar 100 jemaah tunai solat Jumaat, bermula hari ini

Mengulas lanjut, Che Sukri turut menyenaraikan aktiviti pengimarahan lain yang dibenarkan di masjid dan surau negeri Melaka dalam tempoh Fasa 2 PPN termasuk majlis akad nikah sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JAIM.

Selain itu, kuliah maghrib dan kuliah subuh di samping tazkirah atau bacaan surah Yaasin sebelum solat Jumaat.

Katanya, majlis bacaan Yaasin dan tahlil pada waktu antara Maghrib dan Isyak pada hari Khamis malam Jumaat juga dibenarkan selain aktiviti singgah solat di masjid serta surau.

Walau bagaimanapun, Che Sukri berkata, aktiviti kuliah Maghrib, Subuh dan tazkirah yang dibenarkan hanya boleh disampaikan tenaga pengajar tempatan yang tidak melibatkan aktiviti rentas negeri.

“Hanya warganegara Malaysia dan penduduk tetap dibenarkan hadir menyertai aktiviti di masjid serta surau dengan kehadiran warganegara asing tidak dibenarkan.

“Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas juga dibenarkan hadir manakala kanak-kanak 12 tahun ke bawah tidak digalakkan,” jelas beliau.

Sebelum ini, kebenaran kehadiran jemaah di masjid kerajaan adalah 250 orang manakala masjid kariah pula 100 jemaah manakala surau ditetapkan 50 orang sahaja.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram