BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata beliau berbesar hati menerima pelantikan tersebut dan sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa diberikan apa-apa imbuhan.

Beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pengumuman pelantikannya sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

“Saya juga menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan saya.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan pelantikan Muhyiddin tersebut dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat kabinet, Rabu lalu.

BERITA BERKAITAN Muhyiddin dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara

Muhyiddin berkata, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan merupakan suatu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

“Saya dan anggota MPN akan berperanan membantu Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Katanya, langkah itu termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” katanya. – UtusanTV.