gadis nangis
Tangkap layar TikTok Atul yang kini ditonton lebih 1.7 juta kali.

BERCINTA, berkasih tak selalunya berakhir dengan impian bahagia dan ada ketikanya ia akan putus di tengah jalan dek kerana tiada persefahaman bersama lagi.

Mungkin lebih mudah untuk berganti dengan teman baharu, namun bagi sesetengah insan pasti ada satu ketika di mana keadaan itu lebih sukar, nak pula bila yang dicintai itu merupakan luahan hati pertama.

Bagi Quratu Quraidah Roslan, 21, dia hanya tersenyum ketika terserempak dengan bekas kekasih yang kini sudah mempunyai cinta hati baharu.

Apa yang membuatkan jiwanya meruntun pada ketika itu adalah ungkapan dan linangan air mata ayahnya apabila terpandang riak wajah anak kesayangan.

“Dia dah bahagia, anak abah pun boleh bahagia, anak abah kuat,” tidak dapat menahan sebak, gadis ini menangis setelah mendengar ungkapan ikhlas ayahnya.

Mesra disapa Atul, reaksi balas ayahnya itu terlalu bernilai sehingga menyebabkan dirinya tidak dapat menahan air mata daripada tumpah membasahi wajah, sambil dipeluk ayahnya dengan diberikan kata-kata semangat untuk terus kuat.

Menurut Atul, dia yang sedang berseronok menyanyi dan merakam dirinya di dalam kereta, secara tidak sengaja ternampak bekas kekasihnya bahagia bersama bunga baharu dan terus tersenyum melihat mereka.

“Saya tengok dia cam bahagia and then saya senyum, and then saya tegur dengan ayah saya, “abah, tengok tu happy nya”. Saya cakap macam tu dekat abah saya,” kata Atul mengimbau kembali detik bersama ayahnya ke sebuah taman rekreasi di Pontian, Johor.

Baca artikel berkaitan: ‘Angkat tong gas pun boleh, inikan awak’ – Gadis comel bikin kaum Adam ‘panas’

Tonton video di sini: https://vt.tiktok.com/ZSJTAyAQU/

Quratu Quraidah Roslan

Bagi Atul, dia tersenyum kerana melihat bekas kekasihnya itu sudah bahagia dan tidak berasa sedih dengan keadaan tersebut, namun apa yang membuatkannya menangis adalah ketika ayahnya memeluknya kemudian memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Saya macam happy lah tengok dia dah bahagia sekarang kan lepastu ayah saya peluk dan banyaklah ayat yang dia bagi kat saya sampai saya menangis,” ujarnya

Setelah ibunya meninggal dunia, Atul hanya tinggal berdua dengan ayahnya dan banyak bercerita serta meluahkan perasaan kepada ayahnya.

“Dulu saya rapat dengan arwah mak saya dan banyak luah pada arwak mak. Lepas mak saya meninggal, kadang-kadang saya cerita dengan ayah saya sebab saya duduk berdua dengan ayah yelah adik beradik dah duduk jauh kan jadi banyak jugaklah cakap dengan ayah,” katanya.

Atul juga berasa sangat sebak apabila melihat ayahnya menangis kerana jarang dia melihat ayahnya sedih apatah lagi menangis di hadapannya.

“Saya sangat sangat sebak sebab saya dah lama tak nampak ayah saya sedih dan kali terakhir ayah sedih masa mak saya meninggal, and then kali ni dia nangis sebab yelah anak perempuan dia kan,” tambahnya lagi.

Atul juga tidak ketinggalan membaca komen yang ditinggalkan warganet di ruangan komen video yang dimuat naik di TikTok yang ditonton lebih 1.7 juta kali dan kebanyakan mereka membandingkan sikap ayah mereka.

Pada pendapat Atul, setiap lelaki mempunyai sifat ego, jadi mereka tidak selalunya tunjuk kasih sayang mereka walaupun hakikatnya mereka sayang.

“Saya banyak tengok komen yang cakap kenapa lah ayah saya tak macam ayah orang lain. Kita pun tahu sebagai perempuan, lelaki ni ego dan dia sebenarnya sayang cuma dia tak tunjuk,” jelasnya.

Atul turut memberi nasihat supaya utamakan keluarga terlebih dahulu, jaga hati kita sendiri dan jaga hati ayah sendiri sebelum kita jaga hati orang lain.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram