BIJAK ATUR MASA DAN KERJA IKUT KEUTAMAAN

Sama ada ia melibatkan urusan kerja atau peribadi, ada kalanya kita perlu menyiapkan beberapa tugasan serentak. Bagi mengelakkan diri daripada tertekan untuk mencapai sasaran, kita perlu bijak untuk mengatur masa dan kerja mengikut keutamaan. Elakkan membuat kerja di saat-saat akhir.

Jika ia melibatkan aktiviti peribadi seperti menjadi sukarelawan dalam persatuan, pilih hanya satu persatuan yang anda paling minat dan fokus dengan aktiviti mereka.

FAHAMI POLISI MAJIKAN

Bincang dengan majikan tentang polisi syarikat berhubung masa kerja fleksi dan kebenaran untuk bekerja dari rumah. Jika anda seorang pekerja yang bagus dan permintaan tidak bercanggah dengan skop tugas, tidak mustahil untuk anda mencapai persetujuan dengan majikan asalkan sasaran kerja individu dan syarikat tercapai.

BERKOMUNIKASI DENGAN MAJIKAN DAN RAKAN SEKERJA

Maklumkan kepada majikan sekiranya anda berhadapan dengan isu kecemasan melibatkan ahli keluarga. Dengan bukti serta alasan yang munasabah, majikan dan rakan sekerja pasti dapat memberi sokongan seperti memberi kelonggaran pada waktu kerja dan mengambil alih tugas sementara anda menguruskan hal peribadi.

GUNAKAN TEKNOLOGI SEBAIK MUNGKIN

Kemudahan teknologi canggih seperti iPhone, iPad, Wi-Fi, Zoom dan Google Meet membolehkan anda menerima dan membalas e-mel serta mengadakan perbincangan secara virtual dengan rakan sekerja di pejabat tidak kira di mana anda berada. Walau bagaimanapun, hadkan masa melakukan aktiviti seperti membaca dan membalas e-mel pada hari cuti supaya anda dapat meluangkan masa berkualiti dengan ahli keluarga.

BELAJAR KATA TIDAK

Anda boleh menolak tawaran secara baik sekiranya dilantik menjadi ketua persatuan penduduk di taman perumahan atau dilantik rakan sekerja untuk mengendalikan aktiviti di pejabat. Terima pelantikan untuk tugasan yang anda minat dan mampu laksanakan di samping komitmen yang sedia ada. Dengan itu, anda dapat melaksanakan kerja tambahan ini dengan lebih ikhlas dan sempurna.

LAWAN RASA BERSALAH

Jangan rasa bersalah jika ada kalanya anda tidak dapat turut serta dalam program keluarga atas komitmen kerja dan juga sebaliknya. Anda juga tidak perlu rasa bersalah bila rakan sekerja semua sanggup kerja lewat, tetapi anda pula perlu pulang tepat pukul 6.00 petang. Mereka mungkin tidak perlu menjemput anak atau menyiapkan makan malam di rumah. Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Yang penting pemilihan aktiviti dibuat dengan adil dan tidak berat sebelah.

GUNAKAN WAKTU KERJA SECARA OPTIMUM

Pekerja pasti akan ditegur dan dimarahi majikan jika mereka gagal menyiapkan kerja. Apabila ini berlaku, pekerja akan rasa tertekan dan sedih. Sebaliknya, kaji punca perkara ini berlaku dan mengapa kerja tidak dapat disiapkan.

Elakkan guna masa bekerja untuk bergosip, melayari laman web sosial atau membuat urusan perbankan ‘online’ peribadi. Walau pun hanya untuk 10 minit, ia akan memberi kesan kepada output pekerja.

BEKERJASAMA DAN AGIHKAN TUGAS

Siapa kata tugas mandi dan suapkan anak hanya ibu yang perlu buat? Anak anda juga boleh dididik dari kecil untuk mengemas bilik masing-masing dan yang dewasa, boleh bantu membersihkan kawasan rumah yang lain. Jika anda berkemampuan, kerja membasuh dan menggosok baju juga boleh diberikan kepada pihak ketiga atau kedai dobi.

MASA UNTUK BEREHAT – ‘TIME OFF’

Ia adalah perkara yang normal jika ada kalanya rumah anda agak berselerak sebab anda terasa malas untuk mengemas rumah. Selepas waktu kerja atau pada hujung minggu, anda juga boleh memilih untuk tidak membaca atau membalas Whatsapp atau e-mel berkaitan kerja. Sebaliknya gunakan waktu itu untuk buat aktiviti yang anda suka seperti berehat, baca buku atau menonton wayang.

RANCANG AKTIVITI RIADAH DENGAN AHLI KELUARGA DAN RAKAN-RAKAN

Jadikan satu kemestian untuk membuat aktiviti riadah dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Rancang program pada awal tahun atau sebulan lebih awal supaya anda sentiasa ada aktiviti yang dinantikan. Ini dapat membantu anda mengawal tekanan kerja dengan lebih baik