Jenama telefon pintar yang semakin mendapat tempat dihati peminat gajet tempatan, Realme telah melancarkan lagu baharu untuk jenamanya yang berjudul Kena Check dengan kerjasama tiga penyanyi rap berbakat di Malaysia iaitu Joe Flizzow, Hullera dan Bunga.

Lagu Kena Check yang merupakan kolaborasi pertama di antara Joe Flizzow, Hullera dan Bunga dihasilkan sempena Festival realme Fan 2021 yang berlangsung pada 28 Ogos 2021.

Selain dipilih untuk menyanyikan lagu Kena Check, Joe Flizzow, Hullera dan Bunga juga telah dilantik sebagai duta Realme 5G.

Menurut Pengarah Jenama Realme Malaysia, Tiffany The, ketiga penyanyi rap ini dipilih sebagai duta Realme 5G kerana memiliki semangat berani untuk melangkah ke hadapan.

“Pasukan Realme Malaysia sangat teruja untuk bersama Joe Flizzow, Hullera dan Bunga dalam meraikan Festival Realme Fan 2021 bersama kami.

“Kami gembira bekerjasama dengan mereka kerana mereka memiliki semangat ‘Dare to Be You’ (‘Berani Menjadi Diri Sendiri’) baik dalam pekerjaan atau kehidupan peribadi sesuai dengan tema kami tahun ini. Kami berharap peminat Realme akan suka dan boleh menerima lagu ini,” katanya.

Bercerita tentang lagu Kena Check, Joe Flizzow memberitahu lagu itu memberi inspirasi kepada peminat dalam mencipta gaya tersendiri mereka, juga untuk melangkah maju dalam hidup tanpa batasan.

“Pada masa kini di mana kita dikelilingi oleh peranti digital, teknologi telah menjadi sangat canggih. Untuk dapat bekerja dengan bijak dan pantas, kita harus terus mempelajari dan menguasai sesuatu yang baru setiap hari.

“Oleh kerana itu, saya sedar setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya dan kita perlu berusaha untuk mencapai kejayaan kerana kita hanya hidup sekali.

“Periksa diri anda setiap hari, pastikan semuanya teratur dan tepat agar anda dapat memulakan hari anda dengan betul. Rancang dengan teliti, matlamat dapat dicapai dengan mudah jika anda berusaha keras, jadi ‘Kena Check’ dari semasa ke semasa, ini sangat penting untuk anda berkembang dan berjaya,” kata Joe Flizzow.

Tambah Joe, dia gembira dapat bekerjasama dengan dua penyanyi rap berbakat besar seperti Hullera dan Bunga dalam projek istimewa ini.

“Bekerja dengan Hullera dan Bunga memang seronok, mereka berbakat. Saya rasa ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana kami bertiga dapat bekerjasama dan menghasilkan lagu yang luar biasa untuk kempen besar seperti Festival Realme Fan 2021.

“Ini juga merupakan peluang untuk menunjukkan bakat penyanyi rap generasi baru Malaysia. Saya rasa gembira kerana kami dapat bekerjasama dengan mudah, terutama dalam masa yang sukar ini. Saya secara peribadi berpendapat bahawa ia akan menjadi lagu ‘HIT’ dan saya harap rakan dan peminat kami akan menyukai lagu ‘Kena Check’!,” kata Joe Flizzow.

Dalam pada itu, Hullera akui teruja dapat bekerjasama dengan idolanya iaitu Joe Flizzow menerusi projek istimewa oleh Realme Malaysia ini.

“Memandangkan saya adalah peminat Joe Flizzow sejak sekolah menengah, saya sangat teruja mendapat kesempatan untuk berkolaborasi dengannya dan Bunga untuk lagu Realme Malaysia ini.

“Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan realme Malaysia sekali lagi memandangkan semangat ‘Dare to Be You’ sangat kena dengan diri saya dan saya berpendapat semua orang harus berasa selesa dan bangga menjadi diri mereka sendiri dalam era moden ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Realme Malaysia dan juga kepada semua ahli pasukan yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan projek ini walaupun dalam situasi getir sekarang,” kata Hullera.

Sementara itu, Bunga pula menganggap kolaborasi untuk Realme Malaysia ini satu impian yang menjadi kenyataan.

“Pertama sekali, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Realme Malaysia atas peluang kolaborasi dalam lagu jenama mereka dengan Joe Flizzow dan Hullera. Kebetulan salah satu impian saya adalah menghasilkan trek bersama Joe Flizzow dan Hullera. 

“Kolaborasi ini mengajar saya bahawa jika saya menyerah kalah, perjalanan saya dalam industri ini akan menjadi sia-sia,” cerita Bunga.

Lagu Kena Check boleh didapati di platform digital seperti Apple Music, Spotify, YouTube, JOOX, KKBox, dan Deezer. Manakala muzik video rasmi pula boleh ditonton disaluran Youtube Universal Music Malaysia.