PENULIS tersenyum apabila membaca reaksi pembangkang termasuklah seorang bekas penasihat media yang ‘menggelupur’ dan seperti ‘cacing kepanasan’ apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Pemimpin pembangkang menyatakan pelantikan itu menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak yakin kepada jemaah menteri dan menuduh Muhyiddin jelas gagal membendung wabak itu serta mendakwa beliau bertanggungjawab atas penderitaan rakyat sekarang.

Sang Penasihat pula yang ‘bossnya’ sebelum ini begitu ‘kepingin’ jawatan tersebut menghamburkan ayat ‘kegilaan apakah ini’ dan menganggap ia bagaikan ‘tikus memperbaiki labu’. Dan turut terpekik terlolong tidak puas hati dengan pelantikan Muhyiddin ialah Pejuang dan DAP.

Entah mengapa mereka begitu ‘gabra’, kelam kabut, gelisah dan bagaikan tidur tak lena. Walaupun Muhyiddin menegaskan, beliau akan menjalankan tugas bertaraf menteri secara sukarela tanpa menerima apa-apa imbuhan tetapi puak-puak yang mempunyai ‘dendam politik’ itu tidak puas hati.

Sebelum ini mereka sudah bergembira kerana dengan sokongan 15 ahli Parlimen UMNO, ‘gerakan’ menjatuhkan Muhyiddin atas alasan beliau gagal menguruskan pandemik Covid-19 telah berjaya. Tetapi apabila Ahli Parlimen Pagoh itu kembali berkhidmat untuk rakyat dan negara mereka ‘bermuram durja’.

Persoalannya adakah Muhyiddin benar-benar gagal ketika menjadi Perdana Menteri? Atau ia sekadar slogan atau ‘kempen’ yang diwujudkan dengan ‘kerjasama’ kawan-kawan dalam kerajaan sendiri bagi menyingkirkan beliau?

Kenapa mahu diukur berjaya atau tidak Muhyiddin dengan jumlah angka kes? Kalau itu mahu diambil kira adakah selepas beliau meletakkan jawatan kes Covid-19 menurun? Bagaimana dengan negara-negara lain yang kes terus meningkat tetapi akhirnya membuat keputusan menerima Covid-19 sebagai endemik bukan lagi pandemik?

Hakikatnya Muhyiddin sudah berjaya menguruskan pandemik Covid-19. Kejayaan beberapa negeri melangkah ke Fasa 2 dan Fasa 3 malah ada yang sedang menuju ke Fasa 4 adalah hasil kepemimpinan beliau. Begitu juga pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 (PICK) yang kini menampakkan hasil cukup memberangsangkan.

Laporan terbaru menunjukkan hanya tiga negeri lain mencatatkan kadar vaksinasi di bawah angka 50 peratis iaitu Kedah (48.9 peratus), Kelantan (47.7 peratus) dan Sabah (43.3 peratus). Malah menjelang penghujung Oktober ini negara akan mencapai imuniti kelompok.

Sektor-sektor ekonomi juga mula ‘menguak’ kembali dan sekaligus memberi peluang kepada rakyat untuk kembali rezeki. Semua ini adalah hasil usaha Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menterii. Kalau beliau gagal sudah pasti sampai ke hari ini, semua yang diperkatakan ini tidak akan tercapai.

Penulis bukanlah mahu memihak kepada sesiapa, tetapi penulis antara rakyat yang semakin muak dengan mainan politik tidak berkesudahan pemimpin-pemimpin pembangkang yang sentiasa sahaja mencari salah apa juga kerajaan lakukan.

Kenapa takut sangat dengan kehadiran Muhyiddin? Lagipun beliau bukannya Perdana Menteri. Apa juga keputusan dan langkah yang mahu dilakukan pastinya harus mendapat kelulusan Perdana Menteri, jemaaah menteri dan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Muhyiddin berhak meneruskan tugasnya yang tergendala akibat mainan politik ketika menjadi Perdana Menteri. Seperti mana kata beliau, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan merupakan suatu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.

Jadi salahkah beliau terus mengepalai MPN dan lagipun beliau tidaklah meletakkan syarat seperti mana Tun Dr.Mahathir Mohamad apabila menawarkan diri mahu mengetahui MAGERAN atau MPN. Seperti dilapor NST pada 19 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri itu berkata;

‘’Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri. Saya mahu mengetuai MAGERAN atau Majlis Pemulihah Negara, tetapi apa juga diputuskan oleh majlis, kerajaan mesti terima.’’

Wah! kalau macam itu biar MPN sahaja menguruskan negara, tidak perlulah ada Perdana Menteri dan jemaah menteri jika segala keputusan MPN perlu diterima.

Tetapi Muhyiddin tidak berbuat demikian, beliau hanya mahu menyambung tugasnya dan pelantikannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Beliau yakin dan ikhlas dengan apa yang mahu dilakukan, jadi kenapa yang puak pembangkang dan pemimpin UMNO yang nampak sangat ada sentimen dendam politik kepada bekas Perdana Menteri itu macam ‘kera kena belacan’!

Bawa-bawalah bertenang, Ismail Sabri pasti tahu apa yang beliau lakukan dalam soal pelantikan Muhyiddin kerana beliau adalah pemimpin yang bersama-sama dengan bekas Perdana Menteri itu sejak pandemik tercetus.

Ismail Sabri sudah mengetahui segala cara kerja dan perancangan Muhyiddin, sepanjang Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri. Ismail Sabri tidak mahu terpengaruh dengan pandangan apatah lagi politik sempit pemimpin pembangkang dan segelintir pemimpin UMNO termasuklah menganggap pelantikan itu ‘sagu hati politik’.

‘Sagu hati politik’ apanya kalau tugas itu dilakukan secara sukarela. Sebenarnya kelompok itu bimbang jika Muhyiddin dibenarkan mengetuai MPN, ia akan mengembalikan populariti bekas Perdana Menteri itu. Mereka tahu hakikatnya Muhyiddin telah berjaya menguruskan pandemik tetapi ia telah ditutupi dengan mainan politik mereka.

Justeru bila kerajaan memutuskan melantik Muhyiddin, maka mereka menjadi ‘tak tentu hala’ kerana bimbang sandiwara dan pembohongan politik yang mereka lakukan selama ini sehingga menghumban Muhyiddin dari kerusi Perdana Menteri terdedah.

Oleh itu jika benar mereka tidak ada apa-apa sentimen politik, biarlah Muhyiddin menjalankan tugasnya di MPN, kalau tidak rakyat akan kembali bertanya, ‘’kegilaan apakah ini…berpolitik tidak habis-habis’!