KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM38 juta bagi memperbaiki infrastruktur yang rosak teruk akibat bencana kepala air di Yan dan Merbok, Kedah.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di daerah itu yang terjejas akibat kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu yang mengorbankan enam nyawa.
“Selepas meninjau keadaan semasa selepas bencana itu, KPLB memutuskan untuk menambah peruntukan dengan kadar segera bagi membolehkan pelbagai infrastruktur dibaiki secepat mungkin demi memastikan anggota Keluarga Malaysia di daerah Yan ini yang ditimpa musibah tempoh hari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa”.
“Ini memandangkan banyak infrastruktur terjejas teruk dan memerlukan pembaikan segera kerana ia melibatkan keperluan penduduk setempat,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di lokasi terjejas di Pekan Yan hari ini.
Peruntukan segera itu juga katanya, seiring dengan keprihatinan KPLB dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat terutamanya di luar bandar sebagai sebahagian Keluarga Malaysia.
Peruntukan tambahan itu juga akan membabitkan pembinaan rumah PPRT sebanyak RM1 juta, RM300,000 untuk kerja-kerja baik pulih jalan kampung dn RM500,000 di bawah program Ameniti Sosial termasuk membaikpulih titi dan jambatan.
RM1 juta pula diperuntukkan untuk untuk bekalan air alternatif dan RM35 juta untuk menaiktaraf Loji Rawatan Air Tupah bagi menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 buah rumah penduduk yang terlibat. – UtusanTV