nabi bedah buang nafsu

Manusia dan nafsu tidak boleh dipisahkan. Dengan nafsu ia mendorong manusia bertindak. Kerana nafsu manusia hidup, demi nafsu manusia berjuang, akibat nafsu manusia lalai. Nafsu yang beraja dalam hati, secara automatik manusia akan menjadi lupa diri.

Betapa ramainya manusia yang tergelincir di lembah kehinaan gara-gara tidak dapat mengawal hawa nafsu. Mereka hanya menjadi hamba dan binatang ternak kerana hidupnya menjadi pak turut hawa nafsu yang bersumber dari perut dan kemaluan.

Membicarakan tentang nafsu, timbul persoalan di manakah kedudukan nafsu yang sebenar. Adakah terletak pada hati, jantung, perut atau juga pada organ tubuh yang lain. Ini rentetan dari sirah Nabawiyah, berlaku satu peristiwa Baginda s.a.w. dibedah oleh malaikat Jibril a.s. sewaktu ingin dibawa menghadap Allah di Sidratul Muntaha.

Ketika itu malaikat Jibril mencuci dada Baginda dan membuang sesuatu dari dalam dadanya. Mungkinkah yang dibuang oleh malaikat Jibril itu adalah nafsu yang beraja dalam diri Baginda?

Merungkai persoalan ini menurut Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nahdawi, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, sepanjang kehidupannya, Baginda s.a.w. pernah dibedah sebanyak tiga kali oleh malaikat Jibril. Peristiwa pertama berlaku, ketika Baginda s.a.w. masih kecil dalam usianya dua tahun lebih. 

Imam Muslim meriwayatkan, ketika Baginda sedang bermain-main bersama dengan kanak-kanak sebayanya di perkampungan Bani Saad, mereka telah didatangi oleh malaikat Jibril. Lalu Jibril a.s. memeluk Baginda dari belakang, membaringkannya dan membelah dadanya.

Kemudian Jibril a.s. mengeluarkan segumpal daging dari jantung Baginda seraya berkata, “Inilah bahagian syaitan yang ada dalam dirimu.”

Jantung Baginda kemudiannya dibasuh pula dengan air zam-zam di dalam bekas emas. Setelah itu dikembalikan semula ke tempat asalnya. Kanak-kanak yang bermain dengannya terkejut menyaksikan peristiwa itu. Lantas mereka berlari mendapatkan Halimatus Saadiah sambil menjerit, “Muhammad telah dibunuh.”

Peristiwa ini telah diceritakan oleh Baginda s.a.w. kepada Anas bin Malik. Kata Anas, “aku masih melihat kesan belahan itu dari bawah tengkuk hingga perut Baginda.”

Bedahan Kali Kedua

Kali kedua pula Baginda dibedah sewaktu menerima wahyu di Gua Hira’. Dalam peristiwa ini, terdapat dua riwayat yang berbeza. Riwayat pertama dan yang paling masyhur tidak menyatakan Baginda s.a.w. dibedah. Hanya wahyu sahaja yang disampaikan oleh malaikat Jibril a.s. di gua Hira’.

Akan tetapi dalam riwayat yang kedua menyatakan, selepas Baginda bertemu dengan Jibril di gua Hira’, dalam ketakutan Baginda terus pulang ke rumah menceritakan pengalamannya kepada saidatina Khadijah. Sesudah bercerita Baginda keluar dari rumah dan melihat di dada langit ada dua malaikat yang menantinya iaitu malaikat Jibril dan Mikail.

Benarkah nafsu letaknya di jantung? kerana itu Baginda s.a.w. dibedah jantungnya.

Kemudian malaikat Jibril turun bertemunya dan membawanya ke tanah lapang untuk membelah dada Baginda. Dalam peristiwa ini sekali lagi dada Baginda dibelah untuk membuang sesuatu kotoran dari jantungnya. Sesudah itu barulah dicuci dan dikembalikan ke tempat asalnya. Kemudian Baginda sekali lagi disuruh membaca Iqra’ sebagaimana ketika di gua Hira’.

Sayangnya Baginda sekali lagi gagal sehingga kali yang ketiga barulah Baginda dapat membacanya. Kedua-dua riwayat ini tetap diterima oleh para ulama hadis. Walau bagaimanapun mereka hanya mentakwilkan riwayat pertama sahaja kerana ia diriwayatkan oleh imam Bukhari.

Bedahan Kali Ketiga   

Dan untuk yang terakhirnya, Baginda s.a.w. sekali lagi dibedah sebelum diangkat ke langit bertemu dengan Allah di Sidratul Muntaha. Pada ketika itu Baginda s.a.w. bersama sahabatnya Jaafar b. Abi Thalib dan Hamzah sedang tidur di rumah Ummu Hani.

Jibril a.s. datang menemuinya menyatakan tujuannya. Kemudian Jibril membuka pakaian Baginda dan membelah dadanya. Peristiwa ini disaksikan sendiri oleh Rasulullah dalam keadaan sedar. Selepas itu barulah Baginda dibawa terbang ke Baitul Maqdis dengan menaiki binatang tunggangan dikenali dengan Buroq.

Terdapat satu lagi riwayat lain yang mengatakan bahawa Baginda juga pernah dibedah sewaktu berumur 10 tahun. Namun begitu riwayat ini ditolak oleh para ulama kerana perawinya tidak dikenali dan tidak diterima. Bahkan riwayat ini juga turut dihukumkan dhaif yang berat.

Hikmah Dibedah

Peristiwa Baginda s.a.w. dibedah sebanyak tiga kali oleh malaikat sebagai menunjukkan bahawa konsep penyucian hati adalah amat penting dalam membentuk sifat mahmudah dalam jiwa. Pembedahan ini dilakukan bukan menunjukkan Baginda mempunyai sikap yang buruk.

Jika Allah inginkan, bukanlah satu perkara yang mustahil untuk membersihkan jiwa Baginda tanpa perlu melibatkan pembedahan berbentuk fizikal. Proses ini diperlihatkan sebanyak tiga kali supaya diambil pengajaran betapa seriusnya soal penyucian jiwa.

Dalam proses kejadian manusia, mereka sememangnya memiliki secebis daging dari bahagian syaitan yang terletak di jantung. Daging ini sedia ada ketika manusia dilahirkan. Tujuannya bagi mengawal hormon tumbesaran tubuh. Pembedahan pertama dilakukan bertujuan membuang bahagian tersebut yang menjadi tempat kegemaran syaitan.

Sudah menjadi fitrah bagi kanak-kanak, mereka mempunyai sikap seperti pemarah, merajuk, mudah mengikut perbuatan rakan sebaya dan sebagainya. Ini disebab bahagian syaitan yang ada dalam jantungnya.

Kerana itulah pada usia dua tahun lebih, bahagian syaitan yang ada dalam tubuh Baginda dibuang supaya sifat-sifat fitrah yang ada pada kanak-kanak tidak menjadi ketara. Sekiranya tidak dibuang, ia akan menjadi tempat syaitan yang paling kuat dalam menguasai seseorang.

Fitrah anak kecil mempunyai sikap pemarah, memberontak, merajuk dan sebagainya. Kerana itu Baginda s.a.w. dibedah waktu kecil membuang bahagian syaitan dalam diri Baginda.

Jadi adakah kita sebagai umatnya boleh membuang bahagian syaitan yang ada dalam jantung sebagaimana Baginda? Dalam hal ini tidak mustahil sekiranya di masa akan datang kita memiliki teknologi yang hebat untuk mengesan bahagian tersebut. 

Sedang pada zaman kini pemindahan jantung yang dianggap mustahil dahulu boleh dilakukan, apatah lagi untuk jangkamasa waktu akan datang.

Hikmah Kedua

Pembedahan kali kedua yang dilakukan bukan bahagian dari syaitan. Dalam riwayat tidak dinyatakan apakah yang dibuang oleh Jibril. Riwayat hanya menyatakan tentang sesuatu yang dibuang tetapi tidak pula dijelaskan apakah yang dibuang itu.

Tujuan utama pembedahan ini dilakukan sebagai persediaan Baginda untuk menggalas satu tugasan yang berat menjadi pemimpin bagi umat manusia. Para ulama menghukumkan riwayat yang menceritakan tentang pembedahan kali kedua ini kedudukannya adalah bertaraf hasan kerana perawinya adalah thiqah iaitu dipercayai.

Peristiwa ini secara tidak langsung menjadi kiasan bagi kita dalam melantik seorang pemimpin, perlu bersedia dalam segenap hal, terutama dalam proses menyucikan jiwa.

Manakala pembedahan kali yang ketiga pula dilakukan bukanlah untuk membuang sesuatu yang ada dalam dada Rasulullah, sebaliknya ia dilakukan bagi memasukkan hikmah (sesuatu perkara yang benar) dan iman.

Tujuannya sebelum bertemu dengan Allah Rab al-Jalil, perlulah dalam keadaan yang benar-benar bersih dan suci hatinya. Bukankah ini satu perkara yang besar maka perlu adanya persediaan. Sedangkan jika kita ingin menghadap raja pun perlu dalam keadaan bersih, inikan pula ketika menghadap Allah.

Ada yang mempertikaikan, bolehkah hikmah dimasukkan ke dalam dada?  Dalam hal ini, ia adalah perkara khususiat yang hanya berlaku pada nabi sahaja. Bermakna kita sebagai umatnya tidak perlu sampai ke tahap itu.

Hati atau jantung?

Ramai dikalangan kita yang terkeliru mengatakan yang dibedah adalah organ hati. Tetapi sebenarnya apa yang dibedah adalah organ jantung. Dalam bahasa Arab istilah Qulub atau qalbu dirujuk kepada organ jantung dan bukannya organ hati.

Firman Allah dalam surah al-Hajj: 46 menyatakan,

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai qalbu. Dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana bukanlah sesungguhnya mata itu yang buta tetapi yang buta adalah qalbu yang di dalam dada.”

Dijelaskan dalam ayat ini, qulub atau qalbu letaknya di dalam dada. Dan jika dilihat melalui kaedah biologi, apa yang ada dalam dada adalah jantung bukannya hati kerana hati kedudukannya berada di bawah dada dan di atas perut.

Mengapa Jantung?

Di dalam jantung terdapat saraf-saraf yang bersambung terus pada otak. Otak sendiri memiliki dua bahagian iaitu otak kanan yang disebut EQ. Bahagian ini yang mengawal saraf emosi seperti marah, sedih, senang, takut dan lain-lain lagi. Dan di sinilah yang menghubungkannya dengan nafsu.

Manakala bahagian otak yang kedua iaitu otak kiri pula menghubungkan saraf memori seperti kecerdasan berfikir, daya ingat, rasional, yang disebut IQ iaitu pusat Intelegensi. Di sini jugalah pusat akal yang bersambung dengan jantung.

Daging dari bahagian syaitan yang dibuang bukanlah nafsu. Ulama mentafsirkan nafsu sifatnya bukanlah berbentuk fizikal tetapi ia berkait dengan ruh. Tempatnya di jantung tetapi dibahagian mana tidaklah diketahui.

Manusia memerlukan nafsu untuk terus hidup, kerana itu Baginda s.a.w. juga mempunyai nafsu. Nafsu merupakan nikmat yang diberi secara berpakej kepada manusia. Apa yang perlu dilakukan adalah mengawal nafsu supaya tidak bermaharajalela dalam diri.

Ada pepatah mengatakan “dari mata turun ke hati,”tanyalah hati apa yang dicari” atau soal hati, makan hati, dan sebagainya. Ini semua melibatkan perasaan yang timbul dari organ jantung bukannya organ hati. Mungkin ini yang perlu kita semua sedari. Wallahu a’lam

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram