GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK lima lagi lokaliti di Pahang dan Sabah akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.

Pelaksanaan PKPD di lima lokaliti di Pahang dan Sabah itu akan dilaksanakan bermula Rabu ini selama dua minggu.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD di lima lokaliti di Pahang dan Sabah itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Rodzi berkata, penguatkuasaan PKPD di lima lokaliti itu akan berpanjangan sehingga 21 September depan.

Baca artikel berkaitan: PKPD dilaksanakan di empat lokaliti di Sabah mulai Selasa

“Dua lokaliti terletak di Kota Belud melibatkan Kampung Pantai Emas dan Kampung Lentigi manakala Kampung Pahu Pinawantai, Ranau serta Kampung Mompilis, Matunggong, Kudat yang juga dikenakan PKPD.

“Hanya satu lokaliti di Pahang dikenakan PKPD iaitu di Kampung Dusun Pak Senam, Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Rodzi turut memaklumkan dua lagi lokaliti di Sabah yang sepatutnya tamat PKPD esok, akan dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Beliau berkata, keputusan melanjutkan PKPD di kedua-dua lokaliti itu mengambil kira analisis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, PKPD itu akan dilanjutkan mulai Rabu hingga 21 September 2021.

“Pelanjutan PKPD itu melibatkan Kampung Tanjung Batu Tengah, Tawau dan Taman Limauan, Kinarut di Papar,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram