ABU Yazid al-Busthami adalah seorang yang taat kepada perintah Allah dan selalu bermunajat supaya dapat masuk ke syurga-Nya kelak. Di fikirannya selalu tergambarkan keindahan dan kecantikan syurga, tentang suasananya yang tenang, dikelilingi oleh bidadari jelita dan kehidupan yang tidak ada penghujungnya.

Abu Yazid juga terimpikan kenikmatan hidup di syurga yang dipenuhi dengan makanan dan minuman yang enak-enak, perhiasan yang cantik-cantik serta berjirankan para penghuninya yang berperibadi mulia.

Sambil membayangkan segala keindahan syurga itu, hati Abu Yazid berbisik, “Di sinilah Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang beriman kepada-Nya ditempatkan. Semoga aku juga akan menjadi jiran mereka di syurga nanti.”      

Ketika tersedar daripada khayalannya, Abu Yazid tiba-tiba terdengar satu suara yang perlahandi arah belakangnya. Suara itu menyeru, “Ada seorang hamba Allah yang bakal menjadi jiran kamu di syurga. Jika kamu ingin berjumpa dengannya, carilah dia.”

Suara itu kemudian memberikan gambaran lelaki tersebut dan di mana tempat tinggalnya.

Dengan perasaan ingin tahu siapakah sahabat yang bakal menjadi jirannya di syurga nanti, Abu Yazid pergi mencari lelaki tersebut berdasarkan petunjuk yang diberikan oleh suara tersebut. 

Selepas mengembara sejauh 500kilomater, akhirnya Abu Yazid sampai ke tempat yang ditujunya. Beliau bertanya kepada para penduduk di situ tentang lelaki berkenaan.

Anehnya, seorang tua yang ditemuinya tadi melarang Abu Yazid al-Busthami daripada berjumpa lelaki tersebut. Orang tua itu berkata: “Jika melihat pada tanda-tanda di dahimu, kamu seorang yang soleh dan taat kepada Allah. Tetapi, mengapakah kamu hendak berjumpa dengan orang fasiq dan suka minum arak?”

Setelah mendengar kata-kata itu, Abu Yazid mendiamkan diri. Hatinya berbisik, “Jika begitu, suara siapakah yang aku dengar ketika bermunajat? Adakah suara syaitan?” 

Abu Yazid hampa dan memutuskan untuk kembali ke kampungnya. Belum sempat dia melangkah, hatinya berbisik lagi, “Aku datang dari jauh untuk melihat hamba Allah itu, tapi aku belum berjumpanya lagi. Sia-sialah kalau aku sudah mencarinya sejauh ini tetapi kemudian pulang begitu saja. Aku tidak akan pulang sebelum bertemu dengannya.”

Abu Yazid bertanya kepadaorang tua itu, “Di manakah tempat tinggal hamba Allah tersebut?”

Orang tua itu menjawab, “Dia dalam keadaan mabuk dan tidak terurus. Jika kamu mahu berjumpa juga dengan lelaki itu, rumahnya tidak jauh dari sini.” 

Abu Yazid al-Busthami terus menuju ke rumah hamba Allah tersebut seperti yang diberitahu oleh orang tua tersebut. Apabila sampai di rumahnya, Abu Yazid terkejut.  Terdapat 40 lelaki dalam rumah berkenaan dan semuanya dalam keadaan mabuk kerana meminum khamar (arak). Lelaki yang dicarinya pula sedang duduk di tengah-tengah kumpulan itu.

Tugasmu bukan membiarkan pemabuk itu ke neraka, tapi membawanya ke syurga.

Abu Yazid putus asa dengan apa yang dilihatnya. Dia yakin kata-kata yang didengarnya semasa bermunajat itu adalah angkara syaitan. Lantas Abu Yazid segera meninggalkan rumah tersebut tanpa berkata apa-apa. Tetapi hamba Allah itu memanggilnya kembali.

“Wahai Abu Yazid al-Busthami, mengapa engkau tidak masuk ke rumah ini?  Bukankah engkau datang dari tempat yang jauh untuk berjumpa dengan aku. Adakah engkau sedang mencari jiranmu di syurga nanti?” tanya lelaki itu.

Abu Yazid berasa hairan dan serba salah. Dia terfikir bagaimana lelaki ini boleh mengetahui niat kedatangannya padahal dia langsung tidak bersuaradan  memberitahunya.

Lelaki tersebut bertanya lagi, “Mengapakah engkau begitu cepat meninggalkan rumah ini tanpa mengucap salam dan memberikan nasihat pada aku?”

Kali ini, Abu Yazid tunduk mendiamkan diri. Dia tidak berani untuk berhadapan dengan lelaki tersebut. Mulutnya terkunci, pelbagai pertanyaan menyerbu fikirannya.

“Sudahlah, wahai Abu Yazid. Engkau tidak perlu banyak berfikir dan berasa hairan. Suara yang menyuruh kamu datang ke sini, sudah pun memberitahu aku tentang kedatangan kamu. Jadi, silakan masuk ke rumahku dan berehatlah seketika,” ucap lelaki itu.

Empat puluh orang pemabuk itu sudahpun bertaubat. Kini tinggal 40 orang lagi.

Abu Yazid al-Busthami terpaksa akur dengan kehendaknya dan duduk di antara mereka yang mabuk itu. Dia bertanya, “Apa sebenarnya yang terjadi di rumah ini? Dan apa pula peranan kamu di sini?”

Jawab lelaki itu, “Wahai Abu Yazid, untuk masuk ke syurga Allah, jangan kamu pentingkan diri sendiri. Itu bukan sifat utama dan mulia daripada seorang lelaki seperti kamu. Dahulu di sini terdapat 80 orang fasiq yang mabuk seperti kamu lihat sekarang.  Selepas itu, aku berusaha menjadikan mereka sebagai teman dan jiran aku di syurga.

“Seramai 40 orang berjaya dipulihkan dan mereka telah bertaubat kepada-Nya.  Kini hanya tinggal 40 orang sahaja lagi yang perlu aku pimpin ke jalan Allah. Sekarang tugas dan tanggung jawab kamu pula untuk membawa mereka ke jalan benar dan seterusnya menjadi jiran kamu di syurga nanti.”

Mendengar kata-kata lelaki itu, hati Abu Yazid seperti disambar petir. Dia berasa amat malu terhadap dirinya sendiri. Abu Yazid bertekad untuk mengikuti jejak hamba Allah itu. Diaberjanji untuk membawa 40 orang fasiq tadi ke jalan yang benar.

 Abu Yazid al-Busthami memperkenalkan dirinya kepada 40 orang itu dan menjadikan mereka sebagai sahabatnya. Dengan usaha, dakwah dan keikhlasan hatinya, 40 orang tersebut akhirnya sedar kesalahan mereka dan bertaubat kepada Allah.

Mudah-mudahan mereka akan berjiran dengan Abu Yazid di syurga kelak.

————————————————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam