YANG di-Pertuan Agong dilaporkan telah memberi perkenan supaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dilaksanakan di Sidang Dewan Rakyat, mulai minggu hadapan.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar seperti dilaporkan Malaysiakini.

Menurut Wan junaidi, keabsahan pelantikan Ismail Sabri tidak perlu dipertikaikan lagi.

Ini kerana, kata beliau, Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri yang diyakini mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa besar kepada Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri yang diyakininya mempunyai sokongan majoriti dan ketika itu, 114 Ahli Parlimen menyokong (Ismail Sabri).

“Ini bukan anggapan lagi, (ahli Parlimen) memang menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk menyatakan sokongan). Jadi dalam masa singkat, saya tidak lihat mereka mengubah pendirian.

Baca artikel berkaitan: SPR perlu laksana Undi 18 menjelang 31 Disember, patuhi arahan mahkamah – Wan Junaidi

“Jika tempoh masa enam atau tujuh bulan, mungkin ada yang ubah fikiran. Jadi berdasarkan ini, Agong berkenan undi percaya tak perlu diadakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ahad lalu, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan memaklumkan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang.

Beliau berkata, tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Bagi tujuan tersebut, kata beliau, Seri Paduka telah pun mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos di mana kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah diminta menyatakan nama ahli Parlimen yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram