PADA 1788, seorang ahli falsafah dan ahli psikologi terkenal Switzerland bernama Charles Bonnet, menceritakan tentang satu kes pelik yang melibatkan seorang wanita.

Kata Bonnet, wanita itu percaya dirinya sudah mati. Disebabkan itu dia telah berbaring di dalam keranda dengan pakaian yang lazimnya dipakaikan kepada mayat. Malah, wanita tersebut juga mendesak orang ramai supaya mengebumikannya.

Wanita itu enggan keluar dari keranda walaupun ahli keluarga, jiran dan penduduk sekitar mendesaknya pulang  ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa, kerana dia masih hidup.

Selepas beberapa minggu baring di dalam keranda, akhirnya wanita tersebut benar-benar mati akibat tidak makan dan minum.

Seratus tahun kemudian, iaitu pada 1880, seorang neurologis Perancis, Jules Cotard pula melaporkan tentang kelakuan aneh seorang pesakit wanita, seperti mana yang pernah diceritakan oleh Bonnet.

Jules Cotard.

Menurut Cotard, wanita itu menafikan kewujudan tuhan dan syaitan. Dunia juga dikatakannya tidak wujud. Lebih aneh lagi, wanita tersebut turut menafikan kewujudan sebahagian daripada anggota badannya. Selain itu, wanita berkenaan menafikan perlunya dia makan dan minum.

Keadaan wanita itu bertambah teruk hingga akhirnya mengatakan dia telah disumpah akan menerima malapetaka sepanjang hayatnya. Selain itu, dia tidak akan mati secara semula jadi, tetapi akibat sumpahan yang dahsyat.

Beberapa lagi kes sedemikian dilaporkan pernah berlaku, dan yang paling diingati berlaku pada tahun 1990, melibatkan seorang lelaki di Edinburgh, Scotland yang mengatakan dirinya sudah mati.

Pada Januari 1990, selepas dibenarkan keluar dari hospital di Edinburgh, keluarga lelaki berkenaan segera membawanya ke Afrika Selatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Di sana, lelaki itu terus bertegas mengatakan dirinya sudah mati dan telah dihumban ke dalam neraka. Anehnya, semasa berkata demikian, tubuh lelaki tersebut terasa panas membahang.

Tambah lelaki tersebut, dia mati akibat penyakit septicaemia, atau mungkin juga AIDS, atau mungkin juga gara-gara jangkitan demam kuning. Selepas mati, lelaki tersebut seterusnya mengatakan, ‘roh ibunya telah membawanya berjalan-jalan melihat seluruh isi neraka’.

Dari masa ke semasa, semakin banyak kes pelik sebegini berlaku di seluruh dunia. Mereka mengatakan jiwa, roh dan nyawa mereka sudah tiada lagi. Sudah ghaib meninggalkan jasad. Ada yang mendakwa tubuh mereka hanyalah sekadar sebuah cangkerang saja, atau mereka akan bertukar menjadi seketul batu.

Lebih menakutkan, ada yang mendakwa mereka dapat menghidu bau daging di tubuh mereka yang sedang mereput dan membusuk. Mereka mengatakan melihat cacing serta ulat sedang merayap di serata badan, kemudian memakan dan menggigit-gigit tubuh mereka.

Akibatnya, mereka mula melakukan keganasan. Ada yang membunuh diri akibat tidak tahan lagi menderita, serta bagi membuktikan memang mereka benar-benar sudah mati.

Yang lain pula merasakan, disebabkan sudah mati, maka tiada apa yang boleh mencederakan tubuh mereka. Mereka juga boleh melakukan sesuatu tindakan ganas dan mencederakan diri sendiri kerana beranggapan mereka sudah mati.

Aneh, bukan? Apakah yang sebenarnya berlaku kepada mereka ini? Gila? Dirasuk makhluk asing? Atau dikuasai semangat ghaib?

Dalam bidang perubatan jiwa, mereka ini dikatakan menghidap sindrom Cotard. Perkataan Cotard mengambil sempena nama Jules Cotard, orang yang mula-mula mengetengahkan kes-kes sebegini dan mengkategorikannya secara lebih jelas berdasarkan kajian saintifik.

Sindrom Cotard adalah suatu sindrom yang aneh, merupakan penyakit mental yang jarang berlaku dan berkaitan dengan khayalan palsu si penghidapnya. Mereka mengkhayalkan sesuatu yang tidak berlaku, kemudian mereka mempercayainya.

Penghidap sindrom ini percaya mereka sudah mati, memudaratkan atau kehilangan sebahagian anggota tubuh mereka.

Punca utamanya ialah tekanan perasaan dan selalunya berlaku di kalangan golongan usia pertengahan ke atas. Sembilan puluh peratus daripadanya adalah wanita.

Anehnya, dari sudut fizikal, mereka sihat walafiat. Sehingga kini, sindrom Cotard masih sukar diubati kerana ia melibatkan jiwa dan mental si penghidapnya.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam