Ayob Khan Mydin Pitchay

TIGA kakitangan awam merupakan antara 17 suspek yang telah diberkas polis kerana terlibat dalam penyalahgunaan daun ketum, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut beliau, penjawat awam berusia antara 32 dan 42 tahun itu telah ditahan dalam dua serbuan yang dilancarkan pada 27 dan 30 Ogos lalu.

Selain itu, Ayob Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melancarkan tujuh serbuan sekitar Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Tangkak bagi mengesan sindiket memproses dan mengedarkan ketum.

Hasil serbuan itu, kata beliau, polis telah berjaya menahan 17 suspek melibatkan 13 lelaki tempatan, tiga wanita tempatan dan seorang wanita warganegara Indonesia berumur antara 20 hingga 56 tahun.

“Serbuan yang dilakukan antara 27 ogos sehingga 4 September itu juga telah membawa kepada rampasan daun, air dan pelatan memproses ketum.

“Keseluruhan rampasan melibatkan 542 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM5,427 dan 300 liter air ketum bernilai kira-kira RM3,000. Jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM8,435 dengan daun dan air ketum yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 11,155 pengguna,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: “Jijiknya rasuah, lebih teruk dari daging babi” – Datuk Ayob Khan

Hasil saringan air kencing turut mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tiga lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum empat tahun.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, serbuan yang membawa kepada tumpasnya tiga sindiket berbeza memproses ketum itu adalah berdasarkan hasil risikan polis selama satu bulan.

Kata beliau, modus operandi yang digunakan kesemua sindiket adalah dengan membawa ketum dari Utara Semenanjung Malaysia menggunakan lori dan mengisytiharkan sebagai barang keperluan.

“Kegiatan ini menjadi popular sejak kebelakangan ini ekoran harga pasaran ketum yang semakin tinggi dan permintaan yang meningkat.

“Kalau mengikut rekod, harga semasa daun ketum antara RM30 hingga RM80 sekilogram boleh menghasilkan 10 hingga 15 liter air ketum.

“Sindiket ini kemudiannya menjual air ketum di pasaran tempatan antara RM15 hingga RM20 satu liter,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram