Sempena kedatangan Hari Malaysia pada 16 September, penyanyi  baharu Yulia Kamelia telah melancarkan sebuah lagu berentak klasik berjudul Bunga Raya khas untuk semua rakyat Malaysia.

Menurut Yulia, lagu Bunga Raya hasil ciptaan tiga komposer muda, Aliff Hassan, Muluk dan Hariz yang diterbitkan oleh Hotsound Record ini diilhamkan daripada bunga kebangsaan iaitu bunga raya.

“Lagu ini ditulis khas tentang keunikan bunga raya yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia. Susunan muzik yang  klasik sedikit sebanyak mengimbau nostalgia lagu-lagu Melayu lama.

“Saya harap lagu ini dapat diterima oleh seluruh pencinta muzik tanah air di seluruh Malaysia,” kata penyanyi yang membuat kemunculan pertamanya pada tahun  ini dengan lagu Lebaran Yang Hiba.

Tambah Yulia, merakamkan lagu semasa  tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu cabaran buat dirinya.

“Antara cabaran yang sukar ketika rakaman lagu ini adalah lagu ini dirakam semasa keadaan negara sedang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Aktiviti rakaman sangat terhad disebabkan SOP. Akan tetapi dengan teknologi yang sedia ada ia tidak menjadi halangan untuk proses rakaman lagu ini,” cerita Yulia

Lagu Bunga Raya boleh didengari di seluruh digital platform muzik antaranya Spotify, Joox, Apple Music, KKBox dan Deezer. Manakala muzik video lirik boleh ditonton di saluran Youtube Hotsound Record.