Lakaran tiga buah pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau A seluas 930 hektar; Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (323 hektar) yang dijangka siap dalam tempoh kira-kira 25 tahun.

KUMPULAN nelayan Pulau Pinang memperoleh kemenangan awal dalam usaha mereka membantah projek tambak laut di perairan selatan negeri itu (PSR) apabila Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini menolak kelulusan laporan kesan impak alam sekitar (EIA) projek tersebut.

Keputusan itu dibuat tiga anggota panel berkenaan yang dipengerusikan Hakim Rozina Ayob dan dua pakar alam sekitar, Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar dan Prof.  Madya Dr. Ramdzani Abdullah.

Dalam rumusan kepada keputusan itu, peguam yang mewakili nelayan, R. Meenakshi berkata, Lembaga Rayuan  mengetepikan kelulusan terdahulu yang diberikan Ketua Pengarah JAS kerana ia adalah ultra vires, tidak sah dan batal mengikut Seksyen 34A (4) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Meenakshi, keputusan itu adalah sangat penting kerana ia bukan sahaja untuk kes PSR tetapi semua kelulusan EIA oleh JAS.

“Keputusan Lembaga Rayuan ini adalah paling penting untuk memahami bagaimana Ketua Pengarah JAS mesti membuat keputusan yang memastikan projek-projek di mana EIA diperlukan adalah mengikut rancangan struktur atau rancangan tempatan yang berkesan secara undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 29 Julai 2019, seramai 185 nelayan dari Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar yang terjejas secara langsung daripada projek tambak laut itu memfailkan rayuan kepada JAS berhubung kelulusan EIA projek itu yang dibuat pada 25 Jun tahun sama.

Menerusi projek PSR itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang menambak kawasan laut di Teluk Kumbar dan Permatang Damar Laut melibatkan keluasan kira-kira 1,821 hektar.

Ia bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau A seluas 930 hektar; Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (323 hektar) yang dijangka siap dalam tempoh kira-kira 25 tahun.

Projek tambakan laut itu dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang membiayai Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) yang dianggarkan menelan kos keseluruhan lebih RM40 bilion.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang dalam reaksi terhadap keputusan Lembaga Rayuan JAS tersebut memaklumkan, kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui permohonan semakan kehakiman (judicial review). 

“Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan tindakan-tindakan lain antaranya kemungkinan mengemukakan laporan EIA yang dikemas kini semula berdasarkan kepada kelulusan pihak berkuasa negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.