SUATU hari seorang ahli sufi terkenal, Syaqiq al-Balkhi membelikan sebiji tembikai untuk isterinya. Si isteri begitu gembira menerima tembikai tersebut, malangnya apabila buah itu dibelah, isinya didapati tidak elok.

Isteri Syaqiq mula marah-marah kerana tidak mendapat sebiji tembikai ranum, enak dan elok seperti yang diharapkannya.

“Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu?” tanya Syaqiq kepada isterinya, “Adakah kepada si penjual, atau si pembeli, atau penanamnya, atau Pencipta buah tembikai ini?”

Isteri ahli sufi itu terdiam.

“Wahai isteriku,” sambung Syaqiq, “ ketahuilah, si penjual itu tentu ingin agar barangan jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Si pembeli lebih-lebih lagi, tentu ingin yang terbaik saja. Manakala si penanam, kalau mampu tentu dia ingin agar hasil tanamannya mengeluarkan hasil yang baik juga.

“Kini nyatalah  bahawa marahmu itu ditujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertakwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

Nanti kalau anda beli buah tembikai, durian, manggis atau buah-buahan apa pun, ingatlah pada cerita ini. Mudah-mudahan dapat mengawal rasa marah, prasangka serta sifat-sifat buruk yang lain.

—————————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam