Sebahagian daripada 45 set bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi, Pulau Pinang.

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.

Menurut Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan semasa rondaan rutin OP BENTENG LAUT dan OP PERTIWI di perairan Pulau Pinang.

Katanya, semasa rondaan tersebut bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.

“Pemeriksaan di keempat-empat lokasi telah menemukan sejumlah 45 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM 5,400 dan dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abd. Razak berkata, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Ujar beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan nelayan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

“Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang,” katanya.

Tanbah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.