PENGERUSI LPPR SPRM, ABU ZAHAR UJANG./ Gambar media sosial.

WUJUD elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan kes bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, siasatan dan pendakwaan ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.

“Oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya.

“Saya dan kesemua ahli jawatankuasa LPPR SPRM tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu, kita tidak mahu terus berulang.

“Prinsip Check & Balance yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Tan Sri Tommy Thomas merupakan Peguam Negara dari Jun 2018 sehingga awal 2020.

SPRM pula diterajui Datuk Seri Mohd Shukri Abdull bermula Mei 2018 dan beliau kemudian memendekkan tempoh perkhidmatan dan digantikan dengan Latheefah Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya pada Jun 2019.

Selain Ahli Lembaga Pengarah Felda, Noor Ehsanuddin merupakan bekas Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Kota Tinggi selama sepenggal iaitu dari 2013 hingga 2018.

Beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Baca artikel berkaitan: Keputusan tarik balik 29 pertuduhan berasaskan fakta disahkan – SPRM

Noor Ehsanuddin ketika ke mahkamah pada pendakwaan kesnya dua tahun lalu.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin ketika dihubungi Bernama berkata, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu.

“Sepatutnya, hari itu (21 Mei) ditetapkan untuk sambung bicara, namun pendakwaan memberitahu mahkamah untuk menarik balik kesemua pertuduhan tersebut,” kata peguam itu.

Sementara itu, Abu Zahar berkata, beliau selaku Pengerusi LPPR bersama enam lagi ahli-ahli lain telah mengadakan perbincangan dan sebulat suara menyatakan pendirian LPPR yang memandang serius berhubung isu penarikan balik kes-kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Dalam hal ini, katanya, LPPR tidak bertolak ansur demi menjaga imej, kredibiliti dan integriti SPRM.

“Sehubungan itu, berkaitan penarikan balik kes terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin, LPPR telah mendapatkan pandangan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

“LPPR mengambil maklum bahawa penarikan balik kes berkenaan adalah berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan,” jelasnya.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) merupakan satu daripada lima badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kes di Johor Bahru dan Shah Alam dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram