Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEMALAM diumumkan kelonggaran untuk industri kreatif termasuk kebenaran operasi panggung wayang, hari ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula menyuarakan permintaan supaya gimnasium dan padang dibuka semula.

Menerusi hantaran twitter, Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan, cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah dikemukakan pihaknya.

Apa yang menarik perhatian, Ahmad Faizal berkata, ramai pengusaha gimnasium dan pusat sukan sudah ‘terhenti nafas’.

Katanya, kuasa mengenai kebenaran operasi gimnasium dan sukan luar dewan berpasukan ada pada MKN dan diharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menyokong permintaan KBS.

“Panggung wayang dibuka? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Ramai yang terhenti nafas. Tolonglah KKM,” kata Ahmad Faizal dalam ciapan berkenaan.

Dalam satu lagi ciapan berbahasa Inggeris, Ahmad Faizal membuat rayuan terbuka kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Baca artikel berkaitan: PM umum kelonggaran SOP Fasa 1 untuk industri kreatif

MKN, tiga kementerian bincang penyesuaian SOP persediaan endemik

Tambah beliau, perlu ada wisdom atau kebijaksanaan dalam membuat keputusan berhubung perkara ini.

Ciapan Ahmad Faizal itu turut dikongsi di laman Facebook beliau dan menjadi tular pagi ini terutama dalam kalangan peminat sukan.

Aktiviti gimnasium dan sukan padang berpasukan tidak dibenarkan sejak Mei lalu susulan pelaksanaan kawalan pergerakan.

Sejak itu, sudah ada pengusaha gimnasium dan kemudahan sukan berkaitan gulung tikar kerana tidak mampu bertahan dalam tempoh sukar ini.

Susulan itu, ramai yang beranggapan kelonggoran wajar diberikan kepada pelanggan yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Perdana Menteri semalam memaklumkan mulai Khamis ini, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu turut dibenarkan ialah  aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam; persembahan langsung seperti seni teater dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram