Polis menahan seorang lelaki kurang siuman yang mengamuk atas kereta polis pagi tadi./ Gambar media sosial

MULANYA dia merampas motosikal orang awam di Pasar Awam Lawan Kuda sebelum menuju ke Balai Polis Gopeng.

Suspek yang membawa bersama parang dan sabit kemudian dihalang di hadapan pintu masuk balai.

Dia kemudian menghala ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dan di situ pergerakannya disekat dengan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang diletakkan di tengah jalan bagi mengelak orang ramai memasuki laluan tersebut.

polis perak
Mior Faridalathrash Wahid/ Gambar Fail PDRM Perak

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek kemudian meluru dengan memanjat bumbung MPV serta melibaskan parang dan sabit bagi mengelakkan dirinya didekati polis.

Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng membantu polis melakukan tangkapan dengan menyembur air ke arah suspek sebelum jatuh di atas jalan.

“Suspek didapati mengalami kecederaan daripada proses tangkapan tersebut. Tiada anggota cedera dalam kejadian itu.

“Turut dirampas ialah sebilah parang, sabit panjang, sebuah motosikal dan empat anak kunci. Permohonan reman akan dilakukan esok (Khamis),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Lelaki mengamuk dengan galah sabit atas kereta polis ditahan

Menurut Mior Faridalathrash, lelaki warga emas itu didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek berusia 61 tahun itu turut mempunyai 16 rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki mengamuk dengan galah sabit dari atas MPV di hadapan Balai Polis Gopeng.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram