Khairy Jamaluddin./ Gambar media sosial Jabatan Penerangan.

SELEPAS Sarawak, vaksin COVID-19 kepada remaja akan diberikan pula di Labuan dan Lembah Klang tidak lama lagi.

Menerusi satu ciapan di Twitter beliau pagi tadi, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kumpulan remaja terlibat akan menerima vaksin Pfizer.

“Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah memberikan ‘lampu hijau’ vaksinasi COVID-19 remaja.

“Sarawak akan bermula hari ini bermula dengan remaja 16-17 tahun dan 12-15 tahun yang berisiko tinggi atau dengan keadaan perubatan kronik.

“Labuan dan Lembah Klang akan menyusul tidak lama lagi. Kami akan memberikan vaksin Pfizer,” kata Khairy.

Baca artikel berkaitan: Tugas sukar untuk nyatakan bila sekolah boleh dibuka dan selamat

Kumpulan pertama dari 76,400 remaja di Sarawak akan menerima suntikan vaksin mereka hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 30 negara telah memulakan atau akan memberikan vaksin dalam masa terdekat kepada remaja di bawah usia 18 tahun.

Bagaimanapun, United Kingdom (UK) memutuskan bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun, hanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan sahaja akan diberikan vaksin.

Panel pakar kesihatan negara itu mahu kerajaan menangguhkan pemberian kepada remaja 12 hingga 15 tahun yang sihat berikutan laporan keradangan jantung walaupun ia amat jarang sekali dikesan.

Namun pada masa sama, di Amerika Syarikat (AD), lebih 7 juta remaja dalam kelompok umur 12-15 tahun sudah diberikan sekurang-kuranya satu dos vaksin setakat minggu lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram