Setelah muncul dengan lagu Surat Akhir pada awal tahun ini, penyanyi Amira Othman kembali mewarnai persada muzik tanah air menerusi lagu Tragedi.

Lagu yang mendapat sentuhan komposer Sharon Paul dan lirik oleh Amira sendiri itu telah dipilih menjadi runut bunyi (OST) bagi drama bersiri terbitan Astro yang berjudul Malaysian Ghost Stories yang sedang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis jam 11 malam di Astro Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124).

Menurut Amira atau nama sebenar Nadira Amira Othman, lagu Tragedi telah lama dihasilkan sejak tahun 2011 lagi sebelum dia berkecimpung sebagai seorang penyanyi professional.

“Sebenarnya lagu ini telah dicipta ketika saya berangan-angan hendak menjadi seorang penyanyi sebelum saya menyertai Akademi Fantasia (AF).

“Single ini menceritakan tentang kisah sedih dalam percintaan apabila kehilangan orang yang tersayang ibarat sebuah ‘tragedi’,” cerita Amira mula mengorak langkah sebagai anak seni sejurus menyertai program realiti Akademi Fantasi (AF) musim ke-10 pada tahun 2013.

Bercerita lanjut tentang single Tragedi, Amira memberitahu dia dan pihak pengurusan terpaksa merombak semula lagu yang telah dihasilkan pada tahun 2011 itu.

“Alhamdulillah rezeki tak pernah salah alamat. Baru hanya tiga bulan single Surat Akhir dilancarkan, saya menerima panggilan daripada pengarah, Izuan Mokhtar yang menyatakan keinginan beliau dalam menggunakan lagu saya sebagai OST Malaysian Ghost Stories.

“Rakaman asal lagu ini pada tahun 2011 terpaksa dirombak semula kerana tona vokal yang berbeza. Jadi, pihak pengurusan mencadangkan agar ia diolah semula pada bulan yang Mei lalu.

“Proses rakaman tidak mengambil masa yang lama kerana saya sudah menghafal lagu tersebut, lebih-lebih lagi ia adalah lagu pertama ciptaan saya sejak menceburi industri nyanyian dan ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

“Harapan saya adalah agar lagu ini dapat sambutan yang baik dan diterima peminat muzik tempatan. Saya juga berharap dengan kemunculan single baru ini nama saya terus kekal relevan dalam industri muzik Malaysia,” katanya.

Lagu Tragedi boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi di seluruh negara serta boleh di pelbagai platform muzik digital seperti seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deeze.

Manakala video muzik lirik single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.