Ahmad Masrizal Muhammad (tengah) bersama Dr Mohd Ekhwan Toriman (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke UKM Bangi hari ini./Gambar UKM

PENTING untuk universiti meningkatkan keupayaan digitalisasi di dalam kampus selari dengan era Industri 4.0 (IR 4.0) yang amat menekankan elemen-elemen seperti Internet of Things (IOT), Sistem Physic Cyber (CPS), Artificial Intelligence (AI).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, digitalisasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara pasti akan mampu menjadi satu wadah utama pada tahun-tahun mendatang.

“Maka, intervensi-intervensi akademik perlu dilakukan oleh setiap universiti di negara ini tidak kira di IPTA ataupun di IPTS agar ianya selari dengan keperluan IR 4.0,” katanya.

Ahmad Masrizal berkata demikian ketika mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Rosli Yaakub dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

Kunjungan mereka disambut oleh Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman bersama pengurusan tertinggi UKM yang lain.

Sehubungan itu, Ahmad Masrizal dalam ucapan tersebut menaruh keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan pihak pengurusan universiti untuk memastikan agenda ini dapat dijayakan dengan sebaiknya.

“Ini waktunya untuk berfikir secara kreatif dan melaksanakan perubahan besar. Jika kita bersatu untuk menjayakan objektif ini, negara bukan hanya akan pulih daripada pandemik ini sebaliknya melakukan lonjakan digital untuk generasi masa depan.

“Kepentingan pendidikan digital dalam arus Revolusi Industri 4.0 membantu meningkatkan daya persediaan melalui pendedahan realiti dan praktikal kepada bakal pemimpin masa hadapan negara dalam pelbagai sudut sektor dan industri. KPT akan mendokong penuh semua usaha ini,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Masrizal juga menegaskan bahawa pihak KPT di bawah kepimpinan Menteri, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad amat mengambil berat akan perihal peri pentingnya universiti meningkatkan usaha untuk memberi fokus kepada kemenjadian graduan.

Bagi beliau, elemen berkenaan adalah satu pra syarat penting yang akan mampu membentuk sebuah negara bangsa yang mempunyai karakter hebat standing dengan karakter bangsa-bangsa lain di dunia.

Sementara itu, selain penerangan ringkas mengenai UKM oleh Dr Mohd Ekhwan, Pengarah Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan turut memberi taklimat mengenai persediaan dan kesiapsiagaan UKM untuk menerima kemasukan pelajar di kampus itu bagi sesi akademik 2021/2022 bermula Oktober ini.

Antara intipati yang ditekankan ialah UKM sentiasa cakna dan mengambil berat keselamatan pelajar dalam suasana pandemik, sekaligus menuntut setiap mereka untuk akur pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan khususnya dan pihak universiti amnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram