Antara ketum yang berjaya dirampas pihak berkuasa sebelum ini. - Gambar Hiasan

HELAH penyeludup ketum menggunakan lori kontena bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila kegiatan itu dihidu polis dalam satu kejadian di sekatan jalan raya (SJR) Jerai, Kupang dekat Baling, Kedah, semalam.

Berikutan itu, polis menahan dua lelaki yang merupakan pemandu serta kelindan sebuah lori kontena kerana membawa empat tan daun ketum berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitenden Shamsudin Mamat berkata, kedua-dua individu berkenaan yang berusia 38 dan 20 tahun ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kupang menghala ke Gerik, Perak kira-kira pukul 2.50 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan terhadap kontena tersebut menemukan sebanyak 400 plastik berisi daun ketum yang dibalut dengan plastik lutsinar.

“Setiap beg plastik itu mengandungi 10 kilogram daun ketum. Nilai rampasan daun ketum itu dianggarkan sebanyak RM40,000 berdasarkan harga pasaran sebanyak RM10 sekilogram di Kedah.

“Namun kita percaya jumlahnya boleh menjangkau antara RM80 hingga RM120 sekilogram di pasaran Kelantan dan selatan Thailand,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, penggunaan lori kontena berkapasiti kira-kira 15 tan itu bagi membawa daun ketum hanya sebanyak empat tan berkemungkinan adalah taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Mereka mungkin menyangkakan lori-lori besar ini tidak akan diperiksa,” katanya.

Tambahnya, ujian urin dijalankan terhadap kedua-dua individu berkenaan didapati negatif dadah.

“Mereka telah dibenarkan untuk direman selama empat hari bermula hari ini hingga 12 September depan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dengan kita kini sedang berusaha memburu pembekal daun ketum tersebut yang dipercayai diperolehi dari kawasan Pendang,” katanya.