SUATU ketika dahulu, hidup  James Bowen boleh dikatakan sebagai seorang yang malang. Dia hanya seorang pemuda Britain yang hidup gelandangan, tidak berpelajaran dan mencari rezeki sebagai pemuzik jalanan.

Namun, suatu hari hidupnya berubah selepas kehadiran seekor kucing berwarna oren. Daripada tiada apa-apa, lelaki ini menemui jalan hidupnya berkat kehadiran kucing ini.

Pada asalnya, James hanyalah seorang pemuda biasa yang tidak punya apa-apa. Dengan pelajaran yang tidak seberapa, James memutuskan untuk mencari rezeki sebagai pemuzik jalanan.

Disebabkan pendapatannya yang tidak stabil, beliau menumpang teduh di rumah kakaknya. Tetapi itu hanyalah sementara. Lama-kelamaan hubungan mereka semakin renggang kerana sering berselisih faham.

James membuat keputusan keluar dari rumah kakaknya. Tanpa kerja tetap, dia tidak mampu untuk menyewa apatah lagi membeli sebuah rumah. Tiada lagi tempat berteduh akhirnya menjadikan dia seorang gelandangan.

Dia tidak mempunyai pilihan selain tidur di kaki-kaki lima. Kadang-kadang di bangku taman. Itu pun sudah cukup baik daripada beliau harus berjalan sepanjang malam.

Suatu ketika dulu, James Bowen hanya seorang gelandangan dan tidur di kaki jalan.

Dalam sebuah temu ramah, James menceritakan hidup di jalanan membuatkan seseorang sedaya upaya untuk mencari ketenangan biarpun hanya sekelumit. Oleh itu, dia terjebak dengan dadah yang dipilih sebagai ‘ubat’ untuk menenangkan fikirannya yang sedang serabut. Ditambah dengan tekanan hidup, James menganggap dadah sebagai ubat penenang untuk melupakan masalah hidupnya.

Dia berterusan dengan keadaan hidup sedemikian buat satu tempoh yang agak lama sehinggalah kerajaan Britain menawarkan program perumahan bagi golongan rakyat gelandangan.

Kadar sewa yang ditawarkan juga lebih rendah berbanding dengan harga sewa rumah di pasaran. Dengan sedikit wang hasil bermain gitar di jalanan, James menyewa rumah tersebut. Sekurang-kurangnya ada juga tempat untuk dia berteduh.

Bila sudah ada rumah, kehidupan James mula berubah dan lebih teratur. Tekanan yang dirasakan beransur hilang. Dia juga sudah mula menjauhkan diri daripada dadah.

Namun begitu, hidup James sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sehinggalah dia menemui seekor kucing jalanan di London.

Kucing Jalanan Pembawa Rezeki

Suatu hari pada tahun 2007, ketika melintas di sebuah landasan kereta api, James ternampak seekor kucing berwarna oren sedang berjalan dalam keadaan lemah tidak bermaya. Kaki kucing itu luka.

Lama dia merenung kucing jalanan itu. Pengalaman lalu yang pernah hidup terbuang tanpa tempat tinggal menimbulkan perasaan belas di hati James, seakan mengerti apa yang dirasai kucing malang tersebut.

James tidak sampai hati membiarkan kucing yang cedera itu. Lalu dia membawa haiwan itu ke klinik berdekatan. Walaupun duit yang ada sebenarnya hanyalah cukup-cukup untuk membeli makanannya pada hari itu, namun dia tidak peduli. Biarlah dia berlapar asalkan kucing itu kembali sihat.

Dengan rawatan dan ubat, kucing tersebut akhirnya beransur pulih. Ketika itu, James mula merasa sayang dengan kucing itu yang dinamakannya sebagai Bob. Kucing oren itu pula seakan tidak mahu berenggang, sentiasa mengikut ke mana saja kaki James melangkah.

James bersama Bob, kucing jalanan yang ditemuinya.

Ketika Bob berjalan, kucing itu akan bertenggek duduk di bahunya. Apabila tiba waktu bermain gitar di jalanan, Bob akan duduk berhampiran James.

Keadaan ini sedikit sebanyak menarik perhatian orang awam untuk berhenti dan melihat Bob lalu menghulurkan wang buat mereka berdua. Daripada situ, pendapatan James semakin hari semakin bertambah. Kehadiran Bob bagai satu keajaiban yang membantu mengubah nasib hidup mereka menjadi lebih baik.

Gelagat Bob yang mencuit hati secara tidak langsung membuka pintu rezeki mereka berdua.

Keuntungan yang diperoleh tidak disia-siakan. Dengan pengalaman kesengsaraan hidup yang dilaluinya, James menulis sebuah buku yang bertajuk ‘Street Bob cat: a man and a cat in the street have hope’.

Buku yang ditulis menceritakan tentang persahabatan antara James dan si kucing oren, Bob. Beliau juga turut memberi motivasi kepada pembaca agar bangkit semula selepas jatuh dalam melalui cabaran hidup. Kisah berunsur komedi tentang pengalaman kedua sahabat ini juga turut diselitkan bersama.

Salah satu buku tulisan James dan filem yang diinspirasikan dari kisah hidupnya bersama Bob, kucing kesayangannya.

Tulisan James berjaya. Bukunya laku dijual. Begitu juga beberapa siri buku selepas itu. Bukan hanya menulis buku, James turut menghasilkan lagu yang menceritakan kisahnya bersama Bob, kucing oren pembawa tuah dalam hidupnya.

Pada November 2016, sebuah filem berjudul ‘A Street Cat Named  Bob’ diterbitkan berdasarkan kisah persahabatan mereka berdua ini.

Ternyata tindakan James menyelamatkan Bob, kucing jalanan yang lemah telah mengubah hidupnya. Tidak perlu lagi merintih dengan perut yang lapar berbunyi. Mungkin inilah ganjaran atas kebaikan yang dilakukannya dahulu. Berbuat baik tidak semestinya sesama manusia sahaja tetapi kepada semua makhluk juga.

Bob, kucing orang yang terkenal di London.

Namun, yang hidup pasti akan mati. Bob, kucing terkenal yang disayangi ramai ini akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun 2020, dalam usia lebih kurang 14 tahun. Kucing oren ini mati kerana cedera parah akibat dilanggar sebuah kereta.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam