Pegawai KPDNHEP bersama pegawai KKM memeriksa harga Kit Ujian Kendiri Covid-19 ketika mengadakan Operasi Samar dan Operasi bersepadu KPDNHEP bersama KKM di Pusat Perniagaan Dan Farmasi sekitar Taman Sri Gombak September lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

MASIH ada segelintir peniaga yang masih meletakkan harga tinggi bagi kit ujian kendiri antigen COVID-19 melebihi harga yang telah ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 seunit.

Perkara itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sepanjang tempoh pemantauan sejak Ahad lalu sehingga semalam.

Menurut Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, pihaknya telah menerima dua aduan berkaitan harga kit ujian kendiri yang mahal.

Namun begitu, beliau berkata, hasil tinjauan setakat ini mendapati kebanyakan farmasi telah menurunkan kepada RM19.90 seunit sejak 1 September lalu walaupun pihaknya memberi ruang melaksanakan penyelarasan harga bermula 5 hingga 11 September.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (kanan) bersama pegawainya memeriksa harga Kit Ujian Kendiri Covid-19 ketika mengadakan Operasi Samar dan Operasi bersepadu KPDNHEP bersama KKM di Pusat Perniagaan Dan Farmasi sekitar Taman Sri Gombak, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Kata beliau, KPDNHEP Selangor telah menggerakkan 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga ke sembilan buah daerah dalam negeri tersebut.

“Kita telah pun melaksanakan pemantauan harian ke semua farmasi dan cawangan premis yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 supaya semua mematuhi peraturan ditetapkan.

“Setakat ini, kita telah memeriksa 503 premis meliputi sektor pengedaran, pemborong dan peruncitan dengan hasil pemeriksaan mendapati rata-rata peniaga yang menawarkan kit ujian berkenaan mematuhi penandaan harga maksimum di premis masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi bersepadu KPDNHEP Selangor bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daerah Gombak di sekitar Taman Sri Gombak, hari ini.

Pegawai Kesihatan (KKM) ketika mengadakan Operasi Samar dan Operasi bersepadu KPDNHEP bersama KKM di Pusat Perniagaan Dan Farmasi sekitar Taman Sri Gombak, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sebanyak lima farmasi telah diperiksa dalam pemantauan yang dilakukan hari ini namun tiada amaran bertulis dan tindakan diambil.

Muhamad Zikril Azan memberitahu, pemeriksaan dan pemantauan akan diteruskan dengan tindakan akan dikenakan terhadap peniaga yang masih melanggar peraturan mulai Ahad ini.

“KPDNHEP Selangor memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana peniaga di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah dan mencatut serta memanipulasi harga ketika permintaan sedang meningkat.

“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000,” jelas beliau.