Lelaki yang mencetuskan 'gempar' selepas mengamuk dan memanjat bumbung kereta peronda polis (MPV) di Gopeng, semalam dilaporkan direman empat hari

SEORANG lelaki yang mencetuskan ‘gempar’ selepas mengamuk dan memanjat bumbung kereta peronda polis (MPV) bersenjatakan sabit dan parang di Gopeng, semalam dilaporkan direman empat hari.

Memetik laporan BH Online, perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim.

Menurut Hasron Nazri, reman terhadap suspek berusia 61 tahun itu bermula hari ini sehingga Ahad.

Kata beliau, perintah reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Semalam, satu video memaparkan seorang lelaki mengamuk yang memanjat bumbung MPV tular dalam media sosial.

Suspek dipercayai merampas motosikal orang awam di Pasar Awam Lawan Kuda sebelum menuju ke Balai Polis Gopeng.

Suspek yang membawa bersama parang dan sabit kemudian dihalang di hadapan pintu masuk balai.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Rampas motosikal di pasar sebelum ke balai, lelaki amuk positif syabu

Dia kemudian menghala ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dan di situ pergerakannya disekat dengan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang diletakkan di tengah jalan bagi mengelak orang ramai memasuki laluan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki itu didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng membantu polis melakukan tangkapan dengan menyembur air ke arah suspek sebelum jatuh di atas jalan.

“Suspek didapati mengalami kecederaan daripada proses tangkapan tersebut. Tiada anggota cedera dalam kejadian itu.

“Turut dirampas ialah sebilah parang, sabit panjang, sebuah motosikal dan empat anak kunci. Permohonan reman akan dilakukan esok (Khamis),” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram