Gambar Facebook KPLB.

PADA 4 September 2021, dua Ahli Parlimen dari blok pembangkang memprotes syarat baharu kemasukan pelajar ke MRSM bagi sesi 2022.

Secepat kilat Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bertindak. Keesokan harinya, beliau membuat pengumuman membatalkan syarat kemasukan yang diumumkan sebelum itu oleh pengurusan MRSM.

Sebelum mengulas lanjut keberanian dan kepantasan Menteri Pembangunan Luar Bandar bertindak, mari kita sorot dahulu kronologi isu ini.

Pertama, pengumuman kemasukan ke MRSM 2022 khusus untuk pelajar aliran sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Ia adalah aliran pendidikan kebangsaan, aliran pendidikan nasional untuk semua kaum, maka ia aalah aliran pendidikan Keluarga Malaysia yang sejati. SK dan SMK bukan sekolah Melayu.

Apabila disyaratkan begitu oleh MARA maka pelajar cemerlang dari dua aliran pendidikan Keluarga Malaysia itu layak memohon dan dipertimbangkan memasuki MRSM. Ia tidak menyatakan syarat berhubung ras di sini.

Kedua, bantahan dua pemimpin pembangkang ialah kerana mereka memperjuangkan aliran pendidikan vernakular. Aliran pendidikan ini bukan sebahagian dari sistem pendidikan nasional.

Tindakan manipulatif mereka sengaja mengelirukan kerajaan, kononnya penolakan itu tidak konsisten dengan slogan Keluarga Malaysia. Tindakan MARA adalah betul.

Ketiga, tindakan Menteri Pembangunan Luar Bandar membatalkan syarat yang ditetapkan MARA dan akur dengan bantahan pembangkang serta mengarahkan MARA kembali kepada Dasar Meritokrasi 2002, mempamerkan kealpaan Menteri Pembangunan Luar Bandar, sekalipun beliau pernah menjadi Menteri Pendidikan dan beliau adalah menteri Melayu UMNO.

Parti ini yang menentang keras tindakan Presidennya ketika itu yang tegar untuk melaksanakan dasar meritokrasi, termasuk dalam pengambilan pelajar MRSM.

Banyak pihak keliru dan tertanya-tanya apakah motif Menteri Pembangunan Luar Bandar berbuat demikian.

Baca artikel berkaitan: Syarat pengambilan pelajar MRSM kekal – Mahdzir

Rumusannya:

Tindakan MARA betul, konsisten dengan slogan kerajaan baharu, Kerajaan Keluarga Malaysia.

Tindakan pemimpin pembangkang betul-betul berbaur provokasi dan menguji kefahaman pemimpin dalam kerajaan Keluarga Malaysia. Ujian mereka mengena.

Tindakan Menteri Pembangunan Luar Bandar betul-betul ingin mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) beliau dalam tempoh 100 hari ini untuk dilihat dan dinilai sebagai sesuatu yang berani, tegas, pantas dan berimpak.

Apa pun, apa yang menarik perhatian kami dalam kalangan NGO dalam isu ini ialah:

  1. Kerajaan baharu adalah sebuah kerajaan yang teramat cekap bertindak. Ada saja bantahan, menteri sendiri akan bertindak sepantas kilat, menangani bantahan itu.
  2. Setiap menteri hendak memastikan KPI 100 hari pertama dipenuhi dengan tindakan berani, pantas dan berkesan, memenuhi kehendak semua pihak. Betul atau salah bukan persoalannya.
  3. Kerajaan baharu dengan slogan ‘Keluarga Malaysia” adalah kerajaan yang peka menjaga kepentingan semua, untuk manfaat, kesejahteraan dan kemakmuran yang wajib diagih kepada semua. Ia adalah slogan keadilan untuk semua.
  4. Menteri dari UMNO terutamanya memang komited mengekalkan tradisi dalam mengutamakan kepentingan lain-lain pihak, lebih daripada kepentingan bangsanya sendiri. Bak kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di buaian dibiar kehausan.
  5. Kuasa membuat keputusan adalah kuasa mutlak menteri. Peranan setiap agensi hanyalah sebagai pelaksana apa juga keputusan yang dibuat oleh menteri walaupun terpaksa melanggar dasar, prinsip, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, kontrak sosial dan wasiat Raja-Raja Melayu.

Kesimpulannya:

i. Kami dalam kalangan NGO tidak berhasrat untuk membidas tindakan Menteri itu, sebaliknya memuji keberanian beliau bertindak pantas dan membuat keputusan.

ii. Kami komited untuk bekerjasama dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar ini kerana kerusi menteri ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Ia pernah disandang oleh Almarhum Tun Razak ketika beliau adalah juga Timbalan Perdana Menteri. Atas sebab itulah MARA secara tradisinya kekal diletakkan di kementerian ini, bukan kerana MARA itu agensi pembangunan luar bandar, tetapi ia adalah agensi pembangunan negara.

iii. Atas kapasiti Menteri itu kami semua komited untuk memanfaatkan kedudukan, keberanian dan kepantasan bertindak beliau sebagai Menteri di KP(N)LB, untuk memperjuangkan isu-isu lain demi kepentingan Keluarga Malaysia.

Isu-isu ini perlu segera diambil tindakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia. Menteri Pembangunan Luar Bandar sebagai anggota Kabinet wajib bersuara bagi pihak kami. Ada banyak isu dari pendidikan, agama, agenda Bumiputera, ekonomi, kewangan dan sebagainya, tapi dalam kesempatan ini, kami usulkan satu ini dulu untuk beliau juarai.

iv. Menteri Pembangunan Luar Bandar wajiblah menjuarai tindakan memperkasa dan melaksanakan semua resolusi utama Kongres Ekonomi Bumiputera 1 1965, yang diperbaharui oleh MPM semasa Kongres KEB 1 1965-2020, pada 1 Oktober 2020, terutama tentang pemerkasaan MARA sebagai Agensi Ulung Agenda Bumiputera. Mohon Menteri menghubungi segera MPM bagi perinciannya.

Kami amat yakin Menteri Pembangunan Luar Bandar akan memenuhi hasrat kami itu.

Moga dengan itu juga KPI beliau dalam masa 100 hari pertama ini pastinya adalah yang terbaik dalam kalangan semua anggota Kabinet.

Selamat berjuang demi Keluarga Malaysia diucapkan kapada Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Dimeterai bersama oleh:

● Dato Dr. Hasan Mad, Setiausaha Agung MPM.
● Dr Abd. Halim Husin, Presiden DPMM
● Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua 1 GAPENA bersama 22 NGO gabungan
● Datuk Faridah A. Jabbar, Yang Dipertua, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (USAHANITA).
● Datuk Abd. Raof Hussein, Presiden, Persatuan Pesara Perkhidmatan Pendidikan
● Aminuddin Yahya, Pengerusi PEMBELA
● Dr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA
● Kamal Shukri Abdullah Sani, Ketua Biro Hubungan Luar dan Wakil Khas Persatuan Linguistik Malaysia, PLM.
● Mohd Zai Mustafa, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram