LIM GUAN ENG./ Gambar media sosial

POLIS akan memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lepas.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keterangan Ahli Parlimen Bagan itu akan diambil selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri yang tamat esok.

“Siasatan kes itu diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri polis dan setakat ini, polis telah menerima tiga laporan berhubung isu berkenaan, kami sudah merekodkan keterangan tiga individu iaitu mereka yang membuat laporan berhubung perkara tersebut.

“Selain itu, polis merekodkan keterangan daripada pihak Setiausaha DUN dan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Lim yang didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.

Jurucakap Pemuda Gerakan negeri Mohd Aswaad Jaafar mempersoal kehadiran Lim ke persidangan DUN itu sedangkan beliau telah diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menafikan dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri.

Lim berkata beliau hanya dimaklumkan pada 2 Sept berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan DUN.

“Tuduhan bahawa saya langgar syarat kuarantin dan keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan kepada penduduk pada 2, 4 dan 8 Sept adalah tidak benar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya beliau hanya menerima arahan rasmi daripada KKM pada 6 Sept untuk menjalani kuarantin kendiri dari 1 hingga 10 Sept yang mewajibkan Lim memakai gelang merah jambu.- BERNAMA