Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah

Persatuan Seniman Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia atas keprihatinan terhadap penggiat seni dengan pengumuman pembukaan semula sektor industri kreatif berkuatkuasa pada 9 September 2021.

Menurut Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, pengumuman tersebut ternyata memberi kelegaan kepada lebih satu juta penggiat industri kreatif di Malaysia.

“Seniman memuji inisiatif dan keprihatinan Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dengan pantas untuk membawa isu industri kreatif ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara untuk dibincangkan pembukaan semula sektor industri kreatif

 “Terima kasih kerana mendengar rintihan kami yang sekian lama terkesan dengan penutupan sektor ini.

“Seperti mana yang kita ketahui industri kreatif telah menjana ekonomi sebanyak 2% pada tahun 2019 dengan nilai melebihi RM 29 Billion terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ini menunjukkan industri ini juga adalah salah satu sektor yang menyumbang kepada pendapatan Negara,” katanya.

Tambah Hafiz, Seniman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan setiap pengggiat seni mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan setelah dibenarkan beroperasi bermula hari ini.

“Seniman menyeru kepada lebih tujuh ribu ahli kami untuk terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan sepanjang menjalankan sesi penggambaran atau apa jua aktiviti seni.

“Pematuhan SOP ini penting bagi menggelakkan penyebaran wabak Covid-19 ini menular kepada semua krew ataupun artis yang terlibat dalam kerja-kerja seni yang dilakukan.

“Sehubungan dengan itu, Seniman akan berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk pemantauan terhadap aktiviti seni yang dijalankan bagi menjamin keselamatan dan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

“Seniman percaya ahli-ahli kami akan sedaya upaya mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan bagi melancarkan sebarang aktiviti seni dilapangan,” kata Hafiz.