Perkongsian data berdasar format baharu yang memperi gambar terperinci dan menyeluruh situasi kes COVID-19 di lapangan./ Infografik FB KKM

HARI ini, tiada lagi infografik peta statistik kes baharu COVID-19 mengikut negeri di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sejak lebih setahun lalu, peta itu sering dikongsikan di kumpulan WhatsApp rakyat Malaysia sebagai rujukan kes semasa pandemik itu di negara ini.

Namun, peta ini akan menjadi kenangan lalu kerana KKM kini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melihat angka-angka berkaitan kes COVID-19 dalam konteks yang tepat dan menyeluruh.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ini bersesuaian dengan proses transisi negara kepada fasa endemik tidak lama lagi selain penekanan ketelusan data.

KHAIRY JAMALUDDIN./ Gambar FB KKM

Justeru katanya, mulai hari ini KKM melancarkan laman web COVID Now (https://covidnow.moh.gov.my/) yang memaparkan data dan statistik terperinci yang memberikan gambaran lebih jelas situasi COVID-19 semasa.

Data yang dipaparkan melalui pembaharuan tersebut termasuklah perincian kes baharu dan kematian beserta status dan jenis vaksin; kapasiti sistem kesihatan awam; penggunaan katil di hospital serta data kesan sampingan susulan vaksinasi (AEFI).

“Ini adalah pelaporan harian oleh KKM dalam format baharu. Perkongsian maklumat sebelum ini berhubung peta kes mengikut negeri, kluster baharu dan ringkasan akan digantikan berperingkat.

“Menerusi pelaporan format baharu, kita memberikan indikator terpenting perincian kes aktif antaranya berdasar lokasi kuarantin rumah, PKRC atau wad, penggunaan alat bantuan pernafasan dan lain-lain.

“Ini (yang terkandung dalam COVID Now) adalah indikator utama kerana yang amat penting ialah untuk mengelakkan sistem kesihatan kita melebihi kapasiti.

“Sangat penting kita memberi data terperinci kes aktif di samping data sembuh dan kematian.

“Segala jumlah kes mengikut negeri, jika anda masih obses dengannya anda masih boleh dapatkan tetapi dalam minggu-minggu yang datang, map itu bye-bye. Kita fokus data penting di lapangan,” katanya dalam sidang media di KKM Putrajaya.

Pelaporan data kes COVID-19 berdasarkan penggunaan katil di seluruh negara.

Sementara itu, jelas Khairy, peralihan kepada fasa endemik yang dijangka selepas Oktober ini adalah selari dengan perkembangan di seluruh dunia.

Katanya, hidup bersama COVID-19 adalah realiti yang perlu diterima dan ini turut diakui negara-negara yang menggunakan pendekatan kawalan ketat sebelum ini seperti Australia, Singapura dan New Zealand.

“Ini antaranya kerana penularan varian Delta dan apa yang dirancang sekarang juga bergantung apa yang akan berlaku dalam tempoh dua bulan akan datang,” jelasnya sambil mengingatkan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan mengelakkan tempat sesak tetap perlu terus diamalkan kelak.

Baca artikel berkaitan: Hanya 0.009 peratus kes kematian COVID-19 dalam kalangan penerima lengkap vaksin

19,307 kes baharu, Selangor kekal bawah angka 3,000

Dalam pada itu, kata Khairy, pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun akan dilakukan serentak dengan pembukaan sesi persekolahan.

Jelas beliau, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilantik untuk memikul tugasan sebagai penyelaras program vaksinasi kepada remaja.

“Kita sudah bentangkan perancangan vaksinasi kepada remaja ini semasa sesi mesyuarat dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tengah hari tadi.

“Apa yang kita setuju adalah, serentak dengan proses pembukaan sekolah, kita akan pergiatkan proses pemberian vaksin kepada remaja,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram