Lelaki yang mencetuskan 'gempar' selepas mengamuk dan memanjat bumbung kereta peronda polis (MPV) di Gopeng, semalam dilaporkan direman empat hari

SEORANG lelaki warga emas yang ditahan selepas dipercayai bertindak agresif dengan memanjat kereta peronda polis sambil melibaskan sebilah sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng semalam, direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, lelaki berusia 61 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Reman selama empat hari dari 9 sehingga 12 September,” katanya ringkas dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Lelaki mengamuk dengan galah sabit atas kereta polis ditahan

[VIDEO] Rampas motosikal di pasar sebelum ke balai, lelaki amuk positif syabu

Semalam, video kejadian tular di media sosial dan lelaki itu berjaya ditahan selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian untuk membantu dengan bertindak menyembur air ke arahnya.

Sebelum kejadian, suspek dilaporkan datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai.

Sebelum itu, suspek dilaporkan mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng.- BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram