SUATU hari, Pak Pandir berjalan di perkarangan taman istana. Kebetulan raja ada di situ. Di taman itu, terdapat beratus-ratus ekor burung merpati yang bebas berterbangan.

Sang raja pun bertanya, “Pak Pandir, cuba teka berapa jumlah burung merpati yang ada dalam negeri beta?”

Pak Pandir diam seketika. Kemudian dia menjawab, “Ada 95 ribu, 300 dan 45 ekor burung dalam negeri ini.”

Sang raja menguji lagi, “Bagaimana jika ada lebih daripada jumlah itu?”

Jawab Pak Pandir, “Jika ada lebih daripada apa yang saya beritahu, bermakna jumlah yang lebih itu adalah merpati yang datang dari negeri lain ke sini.”

“Bagaimana pula jika jumlahnya kurang?” tanya raja lagi.

Pak Pandir menjawab dengan yakin, “Jika kurang, bermakna ada antara merpati dalam negeri ini telah terbang makan angin ke negeri lain.”

Kesimpulan : Sentiasa ada cara untuk anda memandang sesuatu perkara dari sudut yang berbeza.

*****

Suatu hari, berlaku kecurian dalam istana. Sang raja kehilangan sebentuk cincin kesayangannya. Lantas dia memanggil Pak Pandir datang. “Cincin beta hilang. Cincin itu amat beta sayang kerana ia pemberian ayah beta. Tolong cari siapa pencurinya,” arah sang raja.

Pak Pandir kemudian meminta dikumpulkan para pekerja istana yang mempunyai akses untuk masuk ke bilik raja. Kemudian, setiap seorang pekerja itu diberikan sebatang kayu yang sama panjang kesemuanya.

“Kita akan tahu siapa pencurinya esok. Batang kayu orang yang mencuri cincin raja akan bertambah panjang sebanyak dua inci esoknya,” kata Pak Pandir.

Keesokan harinya, pekerja itu dikumpulkan semula dan diminta menunjukkan batang kayu yang diberikan semalam. Dalam ramai-ramai itu, hanya seorang yang batang kayunya pendek sebanyak dua inci.

“Inilah pencuri cincin itu,” beritahu Pak Pandir kepada raja.

Raja bertanya, bagaimana pula begitu. Jawab Pak Pandir, “Dia telah memotong sebanyak dua inci batang kayu ini kerana takut ia bertambah panjang pada hari ini. Hanya pencuri yang risau tentang perubahan panjang batang kayu itu.”

Kesimpulan : Orang yang tidak jujur akan sentiasa curiga dengan penipuan dirinya sendiri. Sifat itu akhirnya akan membongkar kebenaran.

******

Seorang petani membeli perigi daripada seorang jirannya. Setelah pembayaran dibuat, keesokannya petani itu datang ke perigi untuk mengambil air.

Tetapi jiran itu tidak membenarkannya dan berkata, “Aku hanya menjual perigi itu kepada kamu, bukan airnya. Kamu tidak boleh mengambil air di dalamnya!”

Berasa tertipu, petani itu datang mengadu pada sang raja untuk menuntut keadilan. Lalu raja memanggil Pak Pandir dan bertanya bagaimana hendak menangani masalah petani itu.

Pak Pandir mengarahkan petani itu dan jirannya datang menghadap raja bersama-sama. Pak Pandir bertanya kepada jiran petani itu, “Mengapa kamu tak benarkan dia mengambil air dari perigi itu? Bukankah kamu sudah menjual perigi itu kepada petani ini?”

“Ya, aku telah menjual perigi itu kepadanya, tapi yang aku jual ialah perigi, bukan air di dalamnya,” jawab jiran itu sombong.

Pak Pandir senyum lalu menjawab, “Bagus. Jika begitu, keluarkan air perigi itu sekarang.”

“Eh, kenapa pula?” tanya jiran itu lagi.

“Memandangkan kamu sudah menjual perigi itu kepada petani ini, kamu tidak ada hak untuk menyimpan air kepunyaan mu dalam periginya lagi.  Sama ada kamu bayar sewa kepada petani ini kerana menggunakan periginya untuk menyimpan air kamu itu, atau sekarang kamu keluarkan air dalam perigi itu serta-merta!” jawab Pak Pandir.

Jiran itu diam. Dia tahu taktiknya hendak menipu tidak lagi berjaya.

Kesimpulan :  Jangan menipu. Akhirnya anda harus membayar semula harga penipuan itu walau sebijak mana anda mencuba.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam