TENGKU Zafrul bermesra bersama penerima BKC di Bank Simpanan Nasional (BSN) Putrajaya. - GAMBAR: FB Tengku Zafrul

BANTUAN Khas COVID-19 (BKC) yang telah disalurkan secara berperingkat mulai Isnin lalu merupakan sebahagian daripada pelbagai bantuan lain secara berterusan sehingga hujung tahun ini.

Jaminan itu disuarakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) Ke-67, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, bantuan tunai yang telah disediakan sehingga kini kepada hampir 10 juta penerima adalah sebanyak RM12.3 bilion.

Kata beliau, ia merangkumi keseluruhan pembayaran BKC, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan BPR Tambahan.

“Jangkaan baki pembayaran BPR bagi Fasa 3 dan rayuan; BKC (Fasa 2 dan 3) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) pada September hingga Disember 2021 dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion.

“Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM17.1 bilion telah disediakan kerajaan tahun ini bagi pelaksanaan BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan BKP yang telah serta akan disalurkan kepada penerima yang layak,” katanya dalam laporan tersebut hari ini.

Baca artikel berkaitan: PM mahu baucar tunai BKC sampai kepada penerima tanpa kelewatan

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan, Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang berlangsung semalam memperincikan pendekatan menghadapi COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, dalam masa terdekat, PPN akan memberi tumpuan kepada pengurusan pandemik yang berkesan dengan memutuskan rantaian penularan serta mengurangkan morbiditi dan kematian.

Melihat ke hadapan, Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan sedang berusaha untuk mengukuhkan ketahanan dan kesiapsiagaan sistem kesihatan awam untuk menangani pandemik di masa depan sambil bersedia untuk cabaran jangka panjang populasi yang semakin menua serta penyakit tidak berjangkit.

“PPN merupakan pendekatan komprehensif untuk memulihkan keyakinan rakyat sambil membenarkan ekonomi dibuka dengan selamat.

“PPN menilai kesediaan negara untuk mengurangkan sekatan secara holistik, mengambil kira keperluan untuk pelbagai aspek pemulihan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram