PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan terus berada dalam kerajaan untuk meneruskan usaha-usaha memulihkan negara.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini sehinggalah tiba suatu masa untuk pilihan raya umum dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu.

“Pada masa itu, PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.

“Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback!,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Bersatu yang diadakan secara maya malam ini.

Menurut Muhyiddin, sehingga saat itu, ahli parti mestilah melakukan segala persiapan dan tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi.

“Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.

“Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

“Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen Perikatan Nasional dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” jelasnya.

Tambah Presiden Bersatu itu, ahli-ahli parti perlu buktikan nilai kepimpinan parti yang berteraskan prinsip integriti dan amanah.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Kita tidak mencampuri urusan mahkamah.

“Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” tegasnya.

Tegas bekas Perdana Menteri itu, Bersatu telah banyak berkorban kerana nilai dan prinsip yang dipegang selama ini.

Menurutnya, semua pihak bersusah-payah mendirikan parti ini kerana ahli Bersatu ingin membebaskan negara daripada cengkaman kleptokrasi.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya dalam Pilihana rRaya Umum ke-14. Kini sekali lagi kita berkorban kerana kita tidak sanggup menggadai prinsip dan nilai yang menjadi asas perjuangan parti kita.

“Kita melakukan perkara yang betul dengan tidak tunduk kepada desakan untuk menggadaikan prinsip walaupun terpaksa hilang kedudukan dan jawatan. Melakukan perkara yang betul ini bukan tuntutan politik, tetapi tuntutan agama.

“Jadi, jangan kita gentar, jangan kita kecewa. Tidak mengapalah kita berkorban sedikit kerana Allah s.w.t menjanjikan kejayaan yang besar bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada-Nya dengan melakukan segala suruhan-Nya. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Yunus ayat 62 hingga 64,” kata Muhyiddin.

Baca artikel berkaitan: Kenapa takut sangat dengan pelantikan Muhyiddin?

Muhyiddin mampu bantu pulihkan negara

Pada masa sama kata Pengerusi PN itu, ahli-ahli Bersatu juga mesti teruskan kerja-kerja amal yang telah dilakukan kerana rakyat mahu merasakan jasa parti kepada mereka.

Kata beliau, sampaikan bantuan dan ziarah rakyat selain bertanya khabar mereka sama ada cukup makan atau tidak serta sakit demam mereka bagaimana dan bantulah mereka.

Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional yang turut dihadiri Abdul Hadi Awang di ibu negara bulan lalu./ Gambar FB Muhyiddin Yassin.

“Itulah yang terbaik untuk kita lakukan. Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin.

“Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin, ahli-ahli Bersatu juga mesti sentiasa sabar dan tenang dalam menghadapi dugaan dan cabaran dengan sentiasa menekankan prinsip penyatuan dan perpaduan dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

“Kepimpinan Bersatu di setiap peringkat mestilah menjadi “role model” kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan parti dan negara.

“Nilai-nilai kepimpinan yang baik ini mesti kita terapkan secara sistematik dalam parti kita. Sehubungan ini, sukacita saya ingin mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan BERSATU yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan BERSATU sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram