ISU melibatkan kesihatan mental petugas kesihatan yang telah lebih setahun berjuang memerangi pandemik COVID-19 perlu menjadi perkara utama yang akan disentuh sewaktu Sidang Dewan Rakyat, minggu hadapan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengorbanan petugas kesihatan yang tanpa henti berjuang sewajarnya mendapat pembelaan dan perhatian.

Menurut beliau, kerajaan mesti memberi fokus kepada aspek pengurusan, persekitaran kerja dan keperluan asas petugas kesihatan.

Pada masa sama, beliau berkata, aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan juga perlu dilihat dengan lebih berkesan.

“Saya meneliti laporan mengenai luahan para petugas kesihatan yang mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang bertugas memerangi wabak.

Baca artikel berkaitan: 85.5% panggilan bantuan psikososial libat kesihatan mental

“Saya melihat keperluan untuk mempunyai pendekatan memerangi COVID-19 tidak hanya dalam strategi mengawal penularan tetapi harus termasuk emosi dan kesihatan mental petugas kesihatan.

“Ini harus diambil kira oleh Menteri Kesihatan yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, sebuah akhbar melaporkan lebih 70,000 petugas kesihatan dikesan berdepan pelbagai gangguan emosi ekoran perang melawan COVID-19 yang berterusan tanpa henti sejak awal tahun lalu.

Jumlah pesakit baharu dan kematian pesakit COVID-19 yang masih tinggi membuatkan ramai petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan mengalami stres ringan dan teruk, kemurungan serta kecelaruan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram