KERAJAAN dijangka mengumumkan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang ini.

Menurut sumber kepada UtusanTV, difahamkan satu kenyataan rasmi mengenai pelantikan itu akan dikeluarkan petang ini.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan itu akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri atau pun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali seperti semasa pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi bertaraf Menteri Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Najib pernah memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan antara tahun 2008 hingga 2018 sewaktu tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri Keenam.

Pelantikan beliau sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Menteri kepada Perdana Menteri dikuatkan lagi selepas kunjungan Duta Besar Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, semalam.

Singapura mungkin melihat kepentingan Najib sebagai bekas Perdana Menteri untuk mengukuhkan hubungan terutama dalam ekonomi antara kedua-dua negara.

Baca artikel berkaitan: Najib disebut-sebut bakal dilantik penasihat ekonomi bertaraf menteri

UtusanTV sebelum ini melaporkan Najib disebut-sebut untuk dilantik memegang jawatan itu selepas Ismail Sabri menerima kunjungannya selama sejam di Putrajaya, Selasa lalu.

Walaupun Ismail Sabri tidak menyebut apa-apa berhubung kedudukan Najib tetapi satu sumber mendakwa pengumuman mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri akan dibuat tidak lama lagi.

Najib pula ketika mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri berkata, ia bagi membincangkan keadaan semasa ekonomi Malaysia dan langkah-langkah seterusnya yang wajar diambil.

Najib merupakan antara pemimpin yang didakwa berada dalam ‘Kluster Mahkamah’ kerana berhadapan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International dan 1MDB.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Kes itu di peringkat rayuan.

Selain itu Najib juga sedang menjalani perbicaraan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram