Infografik peta agak ikonik pada musim pandemik COVID-19, namun KKM kini tekankan perubahan tingkah laku termasuk melihat kes dengan cara baru menerusi perincian data lain.

PETA kes harian COVID-19 mengikut negeri sudah menjadi agak ikonik – sekitar jam 3 petang, rutin rakyat Malaysia untuk melihat infografik peta berkenaan di media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, peta itu sudah bye-bye kata Khairy Jamaluddin dengan kali terakhir dimuat naik di Facebook dan Twitter KKM pada Rabu, 8 september lalu.

Menteri Kesihatan itu sejak minggu lalu menekankan perubahan tingkah laku dalam transisi Malaysia memasuki fasa endemik yang dijangka selepas Oktober ini.

Khairy Jamaluddin bersama Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar di KKM Putrajaya semalam./ Gambar FB KKM

Bermula semalam, infografik yang ditekankan KKM untuk tatapan rakyat Malaysia merangkumi beberapa statistik yang dipermudahkan.

Jumlah kes baharu, kes sembuh dan kematian sudah tentu ada tetapi ia diserta bersama data kapasiti penjagaan kesihatan awam.

Perincian taburan kes aktif di mana individu positif COVID-19 berada sama ada rumah, pusat kuarantin, wad atau ICU.

Inilah cara baharu untuk melihat kes COVID-19 dan bukan lagi pada jumlah kes semata-mata.

Bukan soal 10,000 kes baharu atau 1,000 kes baharu sahaja tetapi berapa jumlah yang dirawat di hospital.

Jika 1,000 kes sekali pun tetapi jika yang dimasukkan ke wad 20 orang, ia perlu lebih diberi perhatian berbanding 10,000 kes baharu tetapi yang dirawat di hospital hanya 10 orang.

Perkongsian data berdasar format baharu yang memperi gambar terperinci dan menyeluruh situasi kes COVID-19 di lapangan./ Infografik FB KKM

Dalam peralihan ke fasa endemik, terpenting ialah memastikan sistem penjagaan kesihatan awam tidak terbeban dengan jumlah pesakit yang tinggi.

Peralihan fasa ini sudah tentu kerana Malaysia sudah mencapai kemajuan dalam program vaksinasi sejak dilancarkan 24 Februari lalu.

Vaksinasi seperti ditegaskan Khairy terbukti berkesan, menurunkan risiko kematian dan mengelakkan daripada mendapat kesan serius sehingga perlu dirawat di hospital.

Setakat semalam, 71 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksin dan menjelang akhir bulan depan jumlah itu disasarkan mencecah hampir 100 peratus.

Baca artikel berkaitan: Tiada lagi peta kes ikut negeri, pelaporan data ikut format baru – KJ

Hanya 0.009 peratus kes kematian COVID-19 dalam kalangan penerima lengkap vaksin

PC pertama di KKM, KJ tekan soal ketelusan data bagi raih keyakinan umum

Dan melihat perkembangan di beberapa negara kaya yang memulakan program vaksinasi tiga, empat bulan awal di hadapan Malaysia, golongan yang enggan divaksin tanpa sebab adalah satu masalah yang perlu ditangani.

Seperti kata Joe Biden, golongan enggan divaksin kini memenuhi wad hospital di Amerika Syarikat (AS) hingga mengganggu rawatan penyakit lain.

Sedangkan selepas vaksinasi, hospital sepatutnya sudah reda dengan pesakit COVID-19 dan boleh kembali menumpukan rawatan penyakit-penyakit serius lain.

Sebab itu, pentadbiran Biden memperkenalkan peraturan ketat di tempat kerja termasuk mewajibkan vaksinasi atau perlu jalani ujian saringan mingguan.

Harapnya Malaysia juga perlu keras dengan golongan enggan divaksin tanpa sebab.

Ini demi melindungi sistem penjagaan kesihatan negara dan keseluruhan rakyat yang lain.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram