DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan yang meninggal dunia kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Menerusi catatan di Facebook rasminya, Perdana Menteri berkata, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh perkhidmatan keselamatan awam yang amat disegani.

“Selaku mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Allahyarham sangat tegas dan komited dalam memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perkhidmatannya.

“Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Ismail Sabri.

Baca artikel berkaitan: Tan Sri Zaman Khan meninggal dunia di IJN

Pemergian Zaman Khan kehilangan besar untuk negara – Muhyiddin

Zaman Khan, 79, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pada 10.15 pagi dan dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat asar.

Allahyarham menerajui Pengarah JSJ Bukit Aman pada awal 90-an dan sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan polis, Zaman Khan sangat dihormati ramai kerana berjaya mengendalikan kes berprofil tinggi.

Ini termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu atau Bentong Kali serta Mona Fandey.

Zaman Khan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara pada 1997.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram