ARENA politik negara sentiasa bergolak sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berakhir pada tahun 2018. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Puncanya apabila Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri sekaligus membuka laluan kepada penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Kerajaan itu disertai oleh Bersatu, UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti lain. Namun ketenteraman hanya seketika. Pandemik Covid-19 dijadikan ‘senjata’ bukan sahaja oleh pakatan pembangkang tetapi juga beberapa pemimpin kanan UMNO bagi menggugat kepimpinan Muhyiddin.

Kemuncaknya ialah pada 7 Julai apabila UMNO membuat keputusan menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, ia disusuli dengan penarikan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 3 Ogos seterusnya pada 8 Ogos lalu 13 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Berikutan itu pada 16 Ogos, Muhyiddin memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri  kerana kehilangan majoriti di Parlimen.

Masih kita ingat bagaimana ketika UMNO memutuskan menarik sokongan kepada Kerajaan PN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ahli-ahli Parlimen dalam Kabinet dan GLC mengambil risiko untuk kekal dalam kerajaan.

Bukan kerana kuasa dan kedudukan tetapi tidak tergamak mahu meninggalkan rakyat dan negara ketika kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pelbagai kata nista yang terpaksa mereka ‘telan’ dan paling memeritkan ia datang daripada kawan yang sama parti dengan mereka.

Namun apabila Muhyiddin sudah meletakkan jawatan Ismail Sabri dan rakan-rakan tidak ada pilihan. Dengan takdir Allah SWT, Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Ismail Sabri memahami tugas berat yang beliau pikul, apatah lagi dengan memiliki sokongan 114 daripada 115 ahli Parlimen BN ia bukanlah jaminan mampu mewujudkan kestabilan politik.

Asakan daripada pembangkang pasti berlaku dan ia akan bertambah buruk jika tekanan dari dalam parti turut menjadi ‘tetamu tidak diundang’ sekaligus menyaksikan ‘telatah yang memualkan’ seperti sebelum ini.

Seandainya kestabilan politik tidak diwujudkan, selagi itulah juga perancangan bagi memulihkan negara akan  terbantut.

Justeru atas semangat ‘Keluarga Malaysia’ maka semalam Kabinet di bawah kepimpinan Ismail Sabri bersetuju dan komited untuk melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Sehubungan itu Ismail Sabri mengemukakan 7 tawaran iaitu Rang Undang-Undang Anti-Lompat parti akan dibentangkan di Parlimen, Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat, justeru satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan, Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Turut ditawarkan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang, Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Selain itu Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan dan Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Kalau dikaji, empat daripada tujuh yang ditawarkan oleh Ismail Sabri hampir sama dengan apa yang ditawarkan oleh Muhyiddin pada 13 Ogos lalu dalam usaha bekas Perdana Menteri itu mahu mewujudkan kestabilan politik.

Bagaimanapun niat Muhyiddin ditolak mentah-mentah oleh 15 ahli Parlimen UMNO dan pembangkang dan sekarang  niat murni itu diteruskan oleh Ismail Sabri.

Sudah pasti seperti juga Muhyiddin, Ismail Sabri membuat tujuh tawaran ini bukanlah bertujuan mempertahankan kekuasaan tetapi demi memastikan kestabilan politik dapat diwujudkan.

Ia seperti mana ditegaskan oleh Ismail Sabri dalam kenyataan medianya semalam bahawa apa yang dilakukan adalah selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Apa yang ditawarkan oleh Ismail Sabri adalah langkah beliau bagi mencari perdamaian politik kerana ‘pergelutan’ dalam tempoh setahun ini sejak Mac tahun lalu sama sekali tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Atas sebab itulah bukan kata pembangkang malah parti-parti dalam kerajaan sekalipun termasuk segelintir pemimpin UMNO hentilah politiking.

Jika Muhyiddin sendiri dengan terbuka meminta supaya menyahut seruan Perdana Menteri untuk berganding bahu dalam semangat Keluarga Malaysia bagi mencapai matlamat bersama untuk masa depan lebih baik buat negara, kenapa pula dalam UMNO ada yang masih mahu ‘membuat kacau’ dengan apa juga tuntutan atau desakan termasuk soal mahukan sesuatu jawatan atau menjadi ‘batu api’?

Lagipun rakyat sudah muak dan menyampah dengan politiking yang berterusan. Apa yang dilakukan oleh Ismail Sabri dengan dipersetujui dan disokong oleh Kabinet menampakkan ketelusan serta keikhlasan beliau bagi mewujudkan perdamaian politik demi rakyat dan negara.

Oleh itu bersama-samalah  beliau mencapai impian tersebut. Soal politik, soal merebut kuasa tunggulah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekarang bukan masanya.

Jika masih ada yang mahu menolak tawaran Perdana Menteri dan terus dengan nafsu serta amarah politik ternyatalah puak tersebut ‘tidak ada hati perut’ kerana terus ‘gila berpolitik’ ketika kehidupan rakyat wajib dipulihkan dan kestabilan negara harus diwujudkan.