DALAM sebuah bandar, ada seorang saudagar yang mempunyai kedai menjual batu permata. Suatu hari, datang seorang pemuda ke kedainya.

“Saudara seorang saudagar permata yang hebat. Kerana itu saya ingin berguru dengan kamu,” ujar pemuda itu.

Pada mulanya, saudagar itu berat hati hendak menerima. Apabila pemuda itu asyik merayu, saudagar tersebut setuju dan menyuruhnya datang keesokan pagi.

Esoknya, awal pagi pemuda itu muncul dengan semangat berkobar-kobar. Hari pertama, saudagar itu memberinya seketul batu berlian.

“Genggam batu ini,” arah saudagar itu.

Dari pagi hingga ke petang, pemuda itu hanya disuruh menggenggam batu tersebut tanpa sebarang sebab.  

Hari kedua, hari ketiga dan seterusnya pun begitu juga. Dari saat pemuda itu sampai di kedainya, pemuda itu hanya disuruh menggenggam batu yang sama sehinggalah ke petang sebelum dia pulang ke rumah.

Lama kelamaan, pemuda itu mula hilang sabar. Hari ketujuh, pemuda itu bertanya, “Setiap hari saya hanya disuruh menggenggam batu ini. Bila kamu mahu mengajar saya?”

“Sampai saatnya nanti, kamu akan belajar!” jawab saudagar tersebut.

Setelah hampir dua minggu masih diberi tugasan sama, sekadar menggenggam batu dari pagi sampai ke petang, akhirnya pemuda itu hilang sabar.

Hari itu, pemuda itu datang ke kedai saudagar itu. Hasratnya mahu memberitahu dia tidak akan menyambung pembelajarannya lagi kerana berasakan ia hanya perbuatan sia-sia.

Sebaik dia masuk ke kedai, saudagar itu terus memanggilnya. Belum sempat pemuda itu hendak memberitahu hasratnya yang kecewa dan mahu berhenti, saudagar itu minta dia hulurkan tangan.

“Nah, genggam batu ni!” kata saudagar itu lalu memberi sebutir batu berlian seperti hari-hari sebelumnya.

Sebaik batu itu terletak di atas tangannya, pantas pemuda itu berkata, “Ini bukan batu yang sama!”

Saudagar itu tersenyum dan berkata, “Akhirnya, kamu sudah mula belajar.”

**Pembaca sekalian, adakalanya kita kerap hilang kesabaran dan cepat berasa bosan apabila melakukan perkara sama dalam menuntut ilmu, sehingga membuat kita berasa putus asa dan ia hanya kerja sia-sia. Tanpa kita sedar, perkara itu sebenarnya memberi kebaikan dan pengajaran dalam cara tersirat.

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam