bedah batin sihir khayalan

Haji Alias, 65, menemani seorang rakannya menjalani pembedahan batin pada perutnya yang selalu bermasalah. Ketika pembedahan sedang berjalan, beliau meminta izin untuk membantu pembedahan tersebut.

Beliau memang nampak pembedahan dilakukan begitu menakjubkan dan mengerikan, usus-usus dikeluarkan dan ada setengahnya yang dipotong. Kedua-dua tangan beliau dipenuhi dengan darah, sesudah selesai pembedahan, beliau membasuh tangan sebelah kanan sahaja.

Tangan sebelah kiri yang berlumuran dengan darah segera dimasukkan ke dalam saku seluarnya. Sesampainya ke dalam kereta, beliau mengeluarkan tangan kiri dari saku seluarnya. Beliau terkejut, kerana setitik darah pun tidak ada di tangan, bau darah juga tidak ada.

Makcik Piah, 60, menemani anak lelakinya yang berusia 15 tahun menjalani pembedahan batin bahagian kepala. Anaknya disahkan mengidap barah otak peringkat 4. Sepanjang pembedahan dijalankan, beliau sedikit pun tidak nampak pembedahan berlaku.

Apa yang dilihat oleh beliau ialah perawat hanya mundar-mandir di atas kepala anak lelakinya, kadang-kadang dipegang-pegang dan dipicit-picit. Dalam penglihatannya, perawat itu tidak melakukan apa-apa pembedahan, tidak ada darah yang keluar dan tidak ada apa-apa pun yang dikeluarkan dari kepala anaknya.

Oleh itu, beliau sentiasa tenang dan tidak merasa apa-apa bimbang, takut atau rasa ngeri. Sebaliknya suaminya, Pak Din, yang menyaksikan pembedahan dari luar bilik menerusi cermin bilik pembedahan merasai pengalaman yang mengerikan. Suaminya nampak jelas pembedahan kepala anaknya berlaku. Perawat mengeluarkan beberapa organ daripada dalam kepala dan darah merah mengalir.

Laporan dalam majalah Mastika Ogos 2012, menyebutkan “… Pak Teh diura-urakan memiliki kebolehan istimewa, membedah berbagai jenis organ manusia seperti mata, jantung, otak, paru-paru, perut dan buah pinggang secara spontan. Pembedahan itu pula dilakukan bukan di bilik pembedahan, menggunakan peralatan bedah yang serba lengkap seperti yang dilakukan oleh doktor pakar bertauliah. Sebaliknya, Pak Teh terus membedah pesakitnya secara spontan di tengah-tengah orang ramai menggunakan sebilah pisau kecil dan gunting.”

Bedah batin dilakukan dilakukan dengan bantuan jin dan syaitan

Laporan seterusnya menyebutkan bahawa Pak Teh ketika membuat pembedahan mata seorang wanita untuk ditukar dengan biji mata yang baru, tidak nampak darah yang meleleh dan tidak nampak biji mata yang dikeluarkan.

Mengenai hal ini Pak Teh menegaskan dengan katanya: “Saya bedah secara ghaib, guna khadam batin”. Pak Teh menegaskan lagi bahawa orang ramai tidak akan nampak mata lama dikeluarkan dan diganti dengan mata baru, sebab semua urusan dibantu oleh khadam ghaib.

Apakah Pembedahan Batin?

Pembedahan batin adalah pembedahan yang dilakukan oleh seseorang perawat tanpa menggunakan apa juga alat bedah dan tidak dilakukan dalam bilik makmal bedah seperti yang biasa dilakukan dalam perubatan allopati.

Biasanya, ia dilakukan dengan tangan kosong dan jika menggunakan alat, bukanlah alat bedah biasa, tetapi alat-alat yang tidak digunakan oleh pakar-pakar bedah, seperti pisau biasa, gunting biasa dan sebagainya. Oleh kerana tanpa alat, maka perawat akan menekan hujung jarinya ke kulit pesakit di sekitar anggota yang hendak dirawat.

Tangan perawat akan kelihatan seolah-olah sedikit tenggelam ke dalam anggota badan pesakit. Pesakit pula tidak berasa sakit sedikit pun, tetapi terasa seakan-akan sedikit mengantuk. Inilah kesan pukau yang dilakukan oleh perawat.

Akan kelihatan darah mengalir keluar dari kawasan tubuh badan yang dibedah. Kadang-kadang perawat mengeluarkan sesuatu objek dari tubuh pesakit misalnya sebahagian organ pesakit seolah-olah dikeluarkan.

Kadang-kadang ada objek-objek yang asing dikeluarkan dari tubuh pesakit, seperti kaca, paku, berbagai objek tajam yang didakwa dihantar secara sihir oleh musuh. Akhirnya kawasan kulit yang dibedah dibersihkan dan ditutup semula tanpa ada sebarang luka dan calar.

Menurut setengah perawat, kononnya pembedahan batin dilakukan tanpa alat pembedahan moden, juga tanpa pertolongan jin atau ilmu sihir, tetapi dipraktikkan menerusi ilmu ma’rifatullah, yang didasarkan kepada tiga keyakinan;

  • Berdasarkan fadhilat doa yang dipetik dari ayat al-Quran
  • Menggunakan bahasa yang di fahami. Contoh ‘’Ya Maha Suci Allah beri kesembuhan kepada si fulan
  • Jangan mengiktikadkan bahawa doa itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa menyembuhkan.

Berbagai Jenis Pembedahan Batin

Sejenis bedah batin yang kita selalu terlepas pandang ialah bedah batin yang hanya menggunakan isyarat tangan, sama ada jari telunjuk atau tapak tangan yang diarahkan ke bahagian anggota pesakit yang disyaki kawasan berpenyakit, seperti dikawasan kepala, belakang, bahu dan sebagainya.

Kononnya dengan isyarat tersebut, berbagai punca penyakit yang berada di dalam tubuh badan dapat dikeluarkan. Daripada proses rawatan tersebut, kita dapat fahami bahawa rawatan seperti ini melibatkan penggunaan tilikan yang diharamkan di dalam Islam. Kita yakin perawat menggunakan satu kaedah tilikan, kerana biasanya perawat akan menyebutkan perkara-pekara yang ghaib yang biasanya Allah sahaja mengetahui, seperti mengatakan di dalam badan pesakit ada 60 ekor jin atau sebagainya.

Pelbagai kaedah digunakan dalam pembedahan batin yang tidak masuk akal

Demikian juga ubatnya yang sesuai dicari secara tilikkan. Antaranya ditilik ayat-ayat al-Quran yang kononnya sesuai digunakan oleh pesakit. Dapat juga kita fahami bedah batin jenis ini juga menggunakan khadam ghaib iaitu jin atau syaitan.

Selain itu, kebolehan mengeluarkan berbagai objek daripada tubuh badan pesakit seperti mengeluarkan batu karang dengan cara mengalinkan mentimun atau dengan cara diambil dengan tangan daripada tubuh pesakit, mengeluarkan kaca, pisau jilid dan sebagainya daripada mulut pesakit merupakan sebahagian dari bedah batin.

Bedah batin juga dilakukan dengan mengalinkan telur ke tubuh pesakit, kemudian apabila telur dibelah, didapati berbagai objek dalam telur itu, atau warna telur berubah menjadi merah atau hitam.

Transfer Bedah Batin

Sesetengah kiyai di pesantren di Pulau Jawa khasnya di Jawa Timur ada melakukan transfer bedah batin. Kebetulan salah seorang saudara penulis, al-Marhum ustaz Nur Amin menderita kerana diserang penyakit hepatatis C peringkat 4. Pakar-pakar perubatan di Malaysia memberitahu penyakitnya tidak akan dapat disembuhkan.

Artikel Berkaitan: siri 2 gara-gara percaya dengan pembedahan batin ini akibatnya

Beliau segera menemui seorang kiyai di sebuah pesantren di Jawa Timur. Kiyai itu menggunakan seekor kambing hitam yang telah dibacakan doa dan dan berbagai ayat al-Quran. Akhirnya kambing itu disembelih dan dibedah. Didapati organ dalaman kambing hitam itu rosak, hancur dan berwarna hitam. Kiyai itu menafsirkan bahawa penyakit ustaz Nur Amin tidak dapat disembuhkan dan menunggu saat kematian. Penulis mendapat maklumat, ramai juga orang-orang Malaysia yang berubat dengan kiyai tersebut.

Ciri-ciri Penting Pembedahan Batin

Berbagai contoh pembedahan batin di atas ada mengandungi ciri-ciri seperti di bawah ini;

  • Pembedahan yang dilakukan sangat menakjubkan, menghairankan, luar biasa.
  • Perkara atau kejadian yang menakjubkan, luar biasa dilakukan oleh perawat berulang-ulang, selalu berlaku. Seperti Pak Teh, dalam masa 2 jam lebih dapat melakukan pembedahan lebih 200 orang.
  • Pembedahan itu telah menjadi kebolehan diri perawat. Orang ramai tahu dengan jelas, begitu juga perawat pun tahu bahawa dirinya boleh melakukan pembedahan yang menakjubkan dan luar biasa tersebut.
  • Perawat menawarkan khidmat pembedahannya secara terbuka dan masing-masing mempunyai klinik untuk dilawati para pelanggan.
  • Adanya unsur jin atau syaitan yang membantu kerja pembedahan.
  • Setengah orang yang menyaksikan pembedahan, tidak nampak pembedahan itu berlaku, sedang sebahagiannya dapat melihat pembedahan itu berlaku.
  • Tidak menggunakan alat-alat bedah yang standard tetapi menggunakan alat-alat yang tidak digunakan untuk pembedahan biasa, kadang-kadang tanpa menggunakan alat-alat tetapi menggunakan tangan kosong.
  • Pesakit akan mengalami berbagai rasa dan pengalaman seperti semacam terpukau, mengantuk, rasa anggota ditekan-tekan, dipicit-picit tetapi tidak merasa sakit, terasa ada sesuatu yang tercabut dari perut, terasa anggota menjadi berat, kebas, panas dan kadang-kadang sejuk dan sebagainya.
  • Kesan-kesan pembedahan seperti darah tidak kekal, tapi hilang dalam masa sebentar seperti pengalaman Tuan Haji Alias di atas.
  • Tiada meninggalkan parut di anggota yang telah dibedah.
  • Bayaran yang dikenakan terlalu tinggi, beribu-ribu ringgit Malaysia.

Semua 11 ciri yang disebut di atas membuktikan dengan jelas bahawa pembedahan batin adalah sejenis sihir iaitu sihir khayalan. Pembedahan sebenar tidak berlaku. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Hj. Jahid Bin Hj. Sidek, Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah

_______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram