Seramai 20 lelaki tempatan ditahan kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal selain 10 daripadanya bermain judi dalam pemeriksaan di Mak Mandin, Butterworth tengah malam tadi./ Gambar FB IPD SPU.

COVID-19 seharusnya menggerunkan manusia untuk berkumpul beramai-ramai apatah lagi di tempat tertutup.

Namun bagi sekumpulan kaki judi di Butterworth, ketagihan mereka mengatasi semua itu walaupun Pulau Pinang ada kalanya mencecah lebih 2,000 kes sehari.

Akibatnya, 20 lelaki termasuk 10 daripadanya yang sedang leka bermain mahjong dan judi jenis pakau tanpa penjarakan fizikal ditahan dalam pemeriksaan di sebuah premis kedai di Mak Mandin tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) telah membuat pemeriksaan di premis itu pada 12.10 tengah malam dan mendapati terdapat 20 lelaki di situ.

Menurut beliau, seramai 10 daripada mereka sedang leka bermain mahjong dan judi jenis pakau manakala 10 lagi berada di situ sebagai penonton dan mereka didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Polis merampas 66 keping chip, 84 buah mahjong, 52 buah blok judi pakau, kerusi dan meja serta wang tunai RM8,514 dalam serbuan itu.

Baca artikel berkaitan: 90 serbuan, 6 sindiket judi berjaya ditumpaskan – Ayob Khan

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk sejak bila kumpulan itu menjadikan premis berkenaan sebagai tempat berjudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semua mereka berusia 20 hingga 40 tahun itu dan rakyat tempatan.

“Mereka dikenakan kompaun menurut Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 manakala 10 yang ditahan ketika berjudi disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953,” tegasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram