SENATOR IDRIS AHMAD.

SEDAR keluhan umat Islam mengenai kapasiti solat berjemaah yang masih dihadkan, kerajaan Persekutuan hari ini memberi jaminan usaha sedang dilakukan bagi membolehkan lebih ramai berpeluang solat di masjid dan surau.

Untuk itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan membuat deraf ketetapan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat jemaah di masjid dan surau.

Kata Idris, ini untuk dijadikan panduan di semua masjid dan surau di seluruh negara yang mana perkara ini tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri.

“Untuk itu, saya juga akan mengadakan satu pertemuan dengan mufti-mufti negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat bagi perbincangan lanjut mengenai perkara ini.

“Pertemuan ini bagi membincangkan beberapa cadangan yang boleh diambil bagi memberi ruang kapasiti yang lebih luas untuk Islam solat berjemaah di masjid dan surau dengan langkah-langkah keselamatan yang rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Idris, usaha ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik COVID-19 pada akhir bulan depan setelah 80 peratus populasi negara ini lengkap divaksin.

Baca artikel berkaitan: Melaka benarkan 500 jemaah di masjid mulai esok

Jakim kongsi jumlah jemaah solat 5 waktu di 3 masjid, jangan terkejut tengok angkanya

Bilangan jemaah masjid adalah seperti diputuskan pihak berkuasa agama negeri berikutan penularan wabak COVID-19. Foto hiasan. GAMBAR: Abd Razak Aid

Terdahulu, Pengurusan Masjid Putra, Putrajaya menafikan memberikan layanan ‘dua darjat’ kepada jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat semalam seperti mana dalam rakaman video tular.

Menurut kenyataan hari ini, kehadiran jemaah di Masjid Putra sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan SOP pihak berkuasa.

“Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di masjid ini ditetapkan seramai 300 orang.

“Daripada jumlah ini, pihak pengurusan masjid memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan kita memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota ditetapkan,” kata kenyataan itu yang dikongsi di Facebook masjid berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat menafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak 11 pagi untuk menunaikan solat Jumaat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram