Tan Sr Zaman Khan pada sebuah sidang akhbar di ibu negara tujuh tahun lalu./ Gambar media sosial.

BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan meninggal dunia jam di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Perkara itu disahkan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Hanif Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Allahyarham, 79, yang juga bekas Ketua Pengarah Penjara dimasukkan ke IJN sejak lebih seminggu lalu susulan tahap kesihatannya yang merosot.

Difahamkan Zaman Khan mengalami komplikasi penyakit dalam memerlukan pemantauan rapi pasukan perubatan sepanjang dirawat di IJN.

Turut berkongsi berita kematian Allahyarham antaranya Profesor Undang-undang Perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Aziz di Facebook beliau.

“Innalillahi wa inna ilaihi raaji’uunnn..Saya mendapat berita Tan Sri Zaman Khan baharu saja meninggalkan kita.

“Moga rohnya ditempatkan bersama para anbiyak dan para solihin. Bacalah al-fatihah untuk Tan Sri,” kata Dr Shamrahayu yang terlibat bersama Alahyarham dalam Majlis Dakwah Negara.

Zaman Khan sangat dikenali ramai rakyat Malaysia kerana terlibat dalam menumpaskan kes jenayah berpofil tinggi terutama pada dekad 80-an dan awal 90-an.

Antaranya Botak Chin dan P. Kalimuthu atau Bentong Kali serta Mona Fandey selain beberapa kes besar lain.

Selepas mengetuai JSJ Bukit Aman selama lima tahun, Zaman Khan kemudian dilantik menerajui Jabatan Penjara pada 1994 sebagai Ketua Pengarah.

Beliau kemudian bersara daripada perkhidmatan awam pada hujung tahun 1997.

Allahyarham dilahirkan pada Disember 1942 di Pasir Mas, Kelantan dan mula menyertai PDRM pada 1962 sebagai pegawai kadet.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bukit Aman tengah hari ini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara petang ini.

Berikut biodata Allahyarham seperti disiarkan di laman web Jabatan Penjara Malaysia.

TARIKH LAHIR
: 31 DISEMBER 1942
TEMPAT LAHIR: Pasir Mas, Kelantan
BERKAHWIN: Puan Sri Rosnah Ahmad dan dikurniakan 5 orang anak
PENDIDIKAN: HSC, Victoria Inst. KL ( 1961 )
: Menghadiri Kursus Khas Polis di Amerika Syarikat pada 1968
KERJAYA: Menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai Kadet ASP pada Jun 1962 dan berkhidmat di berbagai tempat termasuk sebagai OCPD di empat buah daerah, Batu Gajah, Grik, Klang dan Georgetown ( 1964-1972 )
: Ketua Trafik, Wilayah Persekutuan KL ( 1972-1973 )
: OCPD di Petaling Jaya ( 1973 )
: Ketua CID di Selangor ( 1975-1978 )
: Ketua Polis Negeri Sembilan ( 1978-1980 )
: Ketua Polis Pulau Pinang ( 1981-1983 )
: Ketua Polis Kuala Lumpur ( 1983-Julai 1986 )
: Pengarah Keselamatan Dalaman dan Ketenteraman Awam di Ibu Pejabat Polis ( Ogos 1986-1989 )
: Pengarah Bahagian Jabatan Penyiasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis ( 1989-1993 )
: Ketua Pengarah Jabatan Penjara ( 1994-1997 )
LAIN-LAIN ASAS: Ahli bagi Persatuan Bolasepak Malaysia

Berita lanjut menyusul.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram