Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbidan ketiga melaporkan 70 peratus rakyat Malaysia mengamalkan diet tidak sihat dengan kurang pengambilan buah dan sayur. Tambahan pula, hanya 30 peratus sahaja yang bersenam secara tetap.

Kali ini Wanita akan menjelaskan isu-isu kesihatan yang biasa dihadapi rakyat Malaysia dan bagaimana buah-buahan boleh membantu memulih sesetengah masalah kesihatan.

JERAWAT

Jerawat disebabkan liang roma yang tersumbat oleh lebihan minyak sebum dan sel-sel kulit mati. Dikalangan wanita dewasa dan remaja pula, ia adalah akibat hormon yang tidak stabil. Jerawat boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang maka ia perlu dirawat segera.

Cadangan Rawatan: Buah berwarna oren-kekuningan kaya khasiat beta kerotin (bahan mampu mengubah kepada Vitamin A aktif untuk keperluan tubuh) dan Vitamin C. Beta kerotin juga bersifat antioksidan bagi melawan bakteria dan mengawal penghasilan sebum dalam kelenjar kulit. Contoh buah kaya beta kerotin ialah betikmangga, lada benggala, labu dan ubi kentang. Sementara buah jenis berri dan masam seperti lemon pula mengandungi Vitamin C.

Jus Buah Pilihan: Jus buah oren + mangga + pir dan + limau gedang atau Jus tomato + lobak merah + epal  ataupun jus epal + tembikai  madu + timun.

NAFAS  BERBAU

Ia boleh menjejaskan hidup sosial anda. Antara makanan penyebabnya ialah bawang, kopi, teh dan makanan manis yang mengubah tahap bakteria dalam mulut anda sehingga menyebabkan nafas berbau. Minum air dan cecair secukupnya penting bagi tujuan hidrasi mulut, selain mengelak pembentukan bahan-bahan mengandungi sulfur. Air liur dalam mulut berhidrasi membantu mengimbangi bau bahan sulfur. Penyakit gusi juga boleh menyebabkan mulut berbau. Ada juga disebabkan fungsi sistem penghadaman yang bermasalah.

Cadangan Rawatan: Enzim-enzim dalam buah- buahan seperti nenas dan betik boleh membantu merangsang penghadaman yang lebih berkesan. Elok makan buah-buahan di atas selepas waktu makan. Lain-lain sayur-sayuran ialah timun dan seleri.

Jus  Buah  Pilihan: Oren + Timun + Jus Seleri atau Kiwi + Betik + Pir.

KOLESTEROL TINGGI

Dialami kebanyakan masyarakat, golongan muda dan awal dewasa. Satu sebab utama ialah amalan gaya hidup dan diet tinggi lemak tepu sehingga mengakibatkan pengumpulan kolesterol dalam pembuluh- pembuluh darah.

Seterusnya, pembuluh akan sempit sehingga menghadkan pengaliran darah. Serangan jantung boleh terjadi. Maka anda perlu makan daging pejal, ikan, kekacang dan hasiltenusu rendah lemak. Guna minyak masak dengan peratus lemak tak-tepu.

Cadangan Rawatan: Oat kaya dengan serat dan dianggap berkesan bagi mengurangkan tahap kolesterol. Ia juga mudah diadun dengan jus buah dan berasa sedap! dan tingkatkan pengambilan serat beta glukan.

Jus Buah Pilihan: Avakado + Nenas + Susu Skim

SERI KULIT & DAYA PENARIK

Kajian oleh University of St Andrews mendapati dua sukatan sayuran dan buah seperti lobak merah dan tomato membantu menyerikan kulit. Ia dikaitkan dengan pigmen oren-kemerahan yang menyerlahkan rona kulit. Bagi remaja yang amat prihatin akan kecantikan kulit, amalkan makan buah dan sayur setiap hari bagi meningkatkan daya penarik mereka.

Jus Buah Pilihan: Jus Tomato + Lobak merah + Epal atau Honeydew + Timun bagi menghidrasi kulit anda.

BERTENAGA

Tidak bersarapan pagi dianggap pencuri tenaga, satu masalah biasa dihadapi ramai orang. Bersarapan ibarat membakar tahap metabolisma anda selepas tidur beberapa jam dan membantu anda berasa lebih bertenaga. Ramai malas menyediakan sarapan tetapi lebih gemar minuman berkhasiat.

Cadangan Rawatan: Dapatkan protin dan kalsium daripada susu rendah lemak; probiotik daripada yogurt bagi merangsang bacteria baik dalam perut serta sebarang campuran jus buah untuk antioksidan, vitamin dan galian.

Jika anda menggemari smoothie sejuk, masukkan potongan-potongan buah dalam peti sejuk sebelum mengisarnya. Jika tidak alah susu dan yogurt, ganti dengan beras, oat atau susu almond.

Jus Buah Pilihan: Jus Tembikai + Belimbing besi atau Epal hijau + Jambu + Oren ataupun Jus Mangga + Pir; atau Epal merah + Jambu + Anggur; ataupun Smoothie strawberi + Pisang + Susu rendah lemak