“SEBENARNYA cerita pasal nikah sempadan, atau nikah Siam ni saya dah lama tahu kewujudannya. Banyak cerita dalam paper dan dari mulut kawan yang saya dengar. Tetapi masalahnya macam mana dan kenapa saya boleh terpengaruh dan tersungkur dalam lubuk ini? 

“Peliknya saya boleh percaya pujukan teman lelaki saya bernama Tee. Sudah nikah baru saya sedar kenapa saya berani tinggalkan keluarga dan ikut Tee nikah di Kelantan, sedangkan saya tahu dia ada isteri dengan 5 orang anak,” Itu cerita Maryani dalam wasapnya. 

“Nak bagi tau, nama je saya nikah di Siam. Tapi majlis nikah berlangsung di sebuah pejabat kecil di Kelantan. Kata juru nikah, pejabat nikah cerai Narathiwat akan keluarkan sijil nikah. Tujuan buat majlis di Kelantan untuk kemudahan pasangan, tak payah pergi jauh ke Siam. 

“Apa yang berlaku ke atas saya ini bermula ketika saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kontraktor. Waktu itu umur saya baru 21 tahun. Oleh kerana manis mulut dan baiknya Tee, saya cepat mesra dan percaya padanya. 

“Perkenalan bermula awal tahun 2004 lagi, ketika itu saya memang sibuk belajar luar kampus. Saya ambil diploma Kejuruteraan Elektronik dari sebuah IPT. Itu hajat saya. Kesibukan saya bertambah kerana selain belajar, saya berniaga kecil-kecilan di pasar malam. 

“Pendek kata dalam sehari saya buat tiga kerja iaitu bekerja, belajar dan berniaga. Saya perlu berniaga, bukan hendak cari duit untuk belajar saja, tetapi untuk bantu keluarga, kerana saya bukan datang dari keluarga berada. 

“Perniagaan turut dibantu oleh ahli keluarga. Setelah beberapa tahun dapat kepercayaan dan keyakinan diri, baru saya lebarkan sedikit perniagaan dengan bantuan emak dan adik beradik, kerana mereka juga perlu duit untuk ke sekolah, sebab kami memang orang susah. Ayah saya bawa teksi, pendapatan tak seberapa.

Gambar hiasan : Kami tinggal di setinggan, ayah bawa teksi. Hidup kami susah.

“Awalnya kami tinggal di kawasan perumahan setinggan. Tapak rumah ayah beli dari kawannya, kemudian ayah buat rumah kecil. Beberapa tahun kemudian kami terpaksa pindah bila tanah pemaju ambil untuk projek pembangunan. 

“Ayah terpaksa menyewa rumah RM600 sebulan. Rumah kecil adik beradik ramai. Terpaksa tidur berhimpit-himpit. Untuk keselesaan, saya, emak dan adik beradik berniaga pasar malam. Bolehlah lega sikit perbelanjaan dapur walaupun tak senang. 

“Berkat kerja keras ayah dan usaha emak, ayah dapat beli tapak rumah. Berdikit-dikit ayah terus bina rumah untuk kami. Tapi bila badan semakin tua kudrat berkurangan, maka rancangan membina rumah agak besar sikit terkandas, tapi kami bahagia ada juga rumah kecil dan tak perlu menyewa.

“Kini tiba giliran saya untuk besarkan sedikit rumah yang ada. Syukur dengan berniaga pasar malam, sedikit demi sedikit kami boleh beli, simen, pasir, dan batu bata untuk dirikan rumah secara beransur-ansur. 

“Saya fikir dari zaman anak-anak hingga ke remaja hidup saya memang susah, jadi harapan saya bila ada pelajaran tentu saya boleh ubah keadaan hidup keluarga kami. Sebab itu saya sanggup bekerja keras melakukan tiga jenis pekerjaan dalam sehari. Dan lebih penting saya mahu tingkatkan taraf pelajaran saya. 

“Ketika saya bekerja jadi kerani, saya kenal dengan ramai orang. Saya tak tahu macam mana niat saya untuk bahagiakan keluarga boleh berubah. Ini yang dinamakan kita merancang, tetapi Allah juga merancang untuk saya. Entah macam mana saya boleh terpikat dan berkahwin dengan Tee.  Sudahlah dia suami orang, anak sudah 5, semua masih bersekolah dan lebih teruk, saya tak tahu apa kerja Tee yang sebenarnya. 

“Pada saya Tee mengaku bekerja sebagai Site Supervisor dengan sebuah projek perumahan. Kerana itu dia sering datang ke pejabat saya, di situlah kami berkenalan. Konon jumpa kawan dan nak berbincang pasal kerja dan projek. 

“Kata Tee, dia berharap satu hari nanti dia pun mahu ada syarikat kontraktor sendiri, daripada kerja dengan orang lebih baik kerja keras dengan syarikat sendiri. Tapi katanya bab nak buat kertas kerja dan nak buat syariakt sendiri memang dia tak pandai. Dia cadangkan saya bantu dia, mana tahu kami boleh berkongsi berniaga satu hari nanti. Itu cerita Tee. Dan cerita nak tubuhkan syarikat sendiri menjadi modal bualan Tee hari-hari bila jumpa saya. 

Tee tipu saya. Dia kata dia Site Supervisor, rupa-rupanya…!!

“Dari situlah kami banyak bercakap pasal syarikat dan Tee beri banyak idea untuk buat syarikat sendiri. Saya perhatikan dia sugguh-sungguh nak buat bisnes. Dulu, katanya dia pernah cuba buat bisnes sendiri, tapi gagal. Pertama sebab kurang modal. Kedua, pekerja selalu lari, dan ketiga, tak dapat bayaran dan kena tipu. Saya pun percayalah semua temberangnya. 

“Lebih dua tahun berkawan akhirnya Tee pujuk saya berkahwin. Tee cadangkan kahwin lari. Dia kata tentu keluarga saya tak terima sebab dia sudah berkahwin. Kahwin lari memang saya tak setuju, tetapi semuanya bertukar bila isteri Tee tahu tentang hubungan kami. 

“Beliau sering menghubungi saya dan menceritakan masalahnya dan keburukan Tee. Malangnya ketika itu saya tengah mabuk bercinta dan selalu dengar yang baik-baik dari Tee, tentulah saya tak percaya dengan apa juga cerita isterinya. 

“Nak jadikan cerita, ketika itu syarikat perniagaan kami sudah bermula, walaupun kami belum nikah lagi. Konon Tee cuma rakan kongsi saya. Tetapi yang malangnya, saya telah tersilap langkah. Saya sudah buat pinjaman bank untuk jalankan perniagaan yang kami cita-citakan.  

“Bila bisnes sudah berjalan, Tee beritahu dia tak pandai buat bisnes kontraktor. Dia tak boleh berhenti kerja. Dia harapkan saya jalankan perniagaan. Keputusannya, saya terpaksa berhenti kerja untuk uruskan syarikat sendiri. Ketika itulah kami nikah. 

Lepas kahwin di Siam baru saya tahu temberang Tee.

“Bila dah kahwin, baru sedikit demi sedikit saya kenal siapa Tee sebenarnya. Benarlah kata isterinya, Tee kaki kelentong. Lebih memeranjatkan, Tee bukan Site Supervisor seperti katanya, tapi cuma driver kepada seorang Dato’. Sebab tu dia selalu sibuk kerana terpaksa ikut Dato’ ke sana, ke sini. Rupanya Dato’ itu pun ada syarikat kontraktor, selain syarikat lain.     

“Bila isterinya tahu Tee ada syarikat kontraktor, dia fikir tentulah Tee banyak duit, sedangkan saya yang terpaksa pinjam bank untuk jalankan bisnes selain menambah duit simpanan sendiri. Kerana isteri Tee selalu ganggu inilah saya jadi hilang sabar. Tambah-tambah bila dapat anak pertama. Sudahlah suami jarang balik rumah, hutang makin meningkat. 

“Tambah menyakitkan hati, bukan sahaja Tee minta duit saya, isterinya pun sama, sedangkan Tee tidak dibenarkan balik ke rumah saya. Lebih teruk, bila ada projek dan ada duit masuk dalam bank, pandai-pandai Tee keluarkan untuk dirinya sendiri. Siapa boleh tahan. 

“Dulu isteri Tee pernah kata, jangan percaya cakap Tee, dia kaki penipu. Dia juga nasihatkan saya, katanya saya masih muda, carilah lelaki lain, kerana dia tak mahu saya kena tipu. Tetapi waktu itu saya rasa itu ayat biasa bila isteri pertama tak suka suaminya diambil orang. Sekarang selepas setahun kahwin, saya mengaku semua cerita isteri Tee ada benarnya. 

“Bila saya dapat tahu Tee cuma seorang driver bukan Site Supervisor, saya jadi tambah sedih. Ya-Allah, saya kena tipu. Saya buat kesimpulan bahawa apa juga ceritanya pada saya sebelum ini semuanya bohong. Tetapi apa nak dikata, nasi dah jadi bubur. Kena makan jugalah. 

“Saya hairan macam mana orang macam Tee tak mahu berusaha baiki hidup, sedangkan saya sejak remaja sudah melibatkan diri dalam perniagaan. Saya atur hidup saya, cari kerja, berniaga dan hujung minggu belajar demi memperbaiki diri. 

“Sepatutnya dengan adanya diploma, saya boleh majukan diri, tetapi saya terperangkap kahwin suami orang yang takutkan isteri dan tidak bertanggung jawab. Sudahlah bermadu, rumah sewa sendiri bayar, makan minum urus sendiri. Adilkah? 

“Namun, ini salah saya juga cepat percaya cakap orang. Mengaku orang kuat politik, ingatkan Ketua Bahagian, tetapi cuma AJK pemuda cawangan aja. Tapi lagaknya kalahkan Dato’. Memang kaki melaram dan putar alam. 

“Dulu janjinya bila ada syarikat, dia boleh dapatkan job dari orang politik, konon. Tapi temberang, saya yang terpaksa cari job. Berniaga kurang modal memang perit. Isterinya fikir Tee ada banyak duit. Tetapi saya jadi mangsa dimaki hamun, dituduh bolot duit Tee. 

“Akhirnya kerana masalah hutang bank, hutang sewa rumah, dan Tee sentiasa ambil duit syarikat, akhirnya saya tinggalkan bisnes, tinggalkan rumah sewa, balik duduk rumah emak. Untuk hidup saya terus berniaga di pasar malam. Saya mahu isteri Tee sedar syarikat tak ada duit sebab Tee habiskan berjudi. 

Saya tinggalkan rumah sewa kami, balik rumah emak dan berniaga pasar malam. Tapi isteri Tee cari saya dan minta duit.

“Balik rumah emak memang sempit, tapi saya puas hati. Tee mengamuk. Tapi bila saya tanya dalam sebulan berapa kali dia balik rumah? Ada dia bayar sewa rumah? Ada bagi makan anak isteri? Ada beli lampin dan susu anak? Ada hantar anak ke klinik, dia terdiam. Jadi jangan hanya pandai berpoligami, kalau tak tahu tanggung jawab. 

“Biasanya bila dia terlalu rindukan saya (katanya)  dia ajak saya tidur di hotel bajet RM60 semalam. Memang saya tak suka pergi hotel, terasa macam perempuan @#%%. Tetapi sekali fikir bagus juga ajar suami macam ni, biar dia keluar duit baru tahu nilai seorang isteri. Masa saya sewa rumah sesen dia tak pernah bayar sewa, semua nak free. 

“Masa tak ada duit, pandai Tee cari saya di pasar malam. Dapat duit terus hilang. Duit sewa syarikat pun dia sapu. Kiri kanan dia sapu, sesen tak bagi saya. 

“Bila isteri pertama dapat tahu saya berniaga pasar malam, dia pun datang minta duit. Apa dia ingat ini bisnes Tee. Tak dapat mula mengamuk. Lama saya bersabar, bagi dia duit, maklum kita ambil suami dia. Dalam sebulan lebih RM800 saya bagi dengan syarat dia mesti bantu saya. Sedangkan emak saya yang tolong jaga anak-anak saya pun, saya tak bagi sebanyak itu. Ini semua desakan Tee. Dia tak ada duit nak sara anak bini, suruh minta pada saya. 

“Akhirnya kesabaran saya tercabar. Saya tutup niaga pasar malam, saya sewakan tapak, puas hati. Tak sakit hati lagi bagi dia duit setiap minggu. Hasil sewa tapak saya kumpul bersama sedikit simpanan saya beli tapak rumah sebelah rumah emak. CSaya buat rumah. Biar kecil asalkan ada rumah sendiri. Tambahan anak-anak semakin membesar. 

“Apa yang menyakitkan hati, tiada satu pun pertolongan saya pada Tee, yang membuahkan hasil. Ada lesen kontrak dia sewakan, duit dia labur ke pusat perjudian. Jadi apa guna saya bersuami kalau semua saya tanggung sendiri? 

“Keputusan saya muktamad, minta cerai. Tapi masalahnya, saya tak ada surat nikah yang sah. Rupa-rupaya dulu saya nikah sindiket. Puas saya bertanya bagaimana cara untuk bercerai, tetapi gagal. Hinggalah satu hari Majlis Agama Islam Selangor buat program Jom Daftar Nikah. Saya ambil peluang. Saya daftar nikah di pejabat agama Gombak tahun 2017, lulus tahun 2018 kena denda RM2,000 seorang. 

Jangan berhenti kerja, jangan mudah terpedaya dengan temberang lelaki dan jangan takut untuk buat keputusan lepaskan diri daripada suami yang menyusahkan hidup kita.

“Tee marayu setengah mati. Janjinya gunung-ganang akan diberi, lautan api akan direnangi. Kerana pujuk rayu, saya tarik permohonan cerai. Tapi janji buaya memang tak boleh pakai, setahun kemudian saya tuntut cerai lagi, kali ini saya dapat cerai hakam  talak Bain Sughra, selesai. Baru senang hati. 

“Sesungguhnya pengalaman ini amat pahit untuk ditelan. Tee memang putar alam. Kerja driver, kata site supervisor. Saya buat bisnes kontraktor, dia ambil duitnya. Sewakan lesen pun dia sapu juga. Kini saya bangkit semula. Harapan saya Allah akan bantu demi anak-anak saya, ’’ Itu cerita Maryani dengan harapan pengalaman pahitnya dapat dijadikan iktibar. Bukan mudah jadi isteri kedua dan jangan biarkan diri tertipu. Nasihatnya, tolong ambil iktibar dari pengalaman pahitnya, jangan tersilap langkah akan merosakkan diri sendiri. 

Oleh : MAIMUNAH YUSOF

————————————————-

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam