Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) adalah demi masa depan rakyat serta negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut memuat naik beberapa gambar semasa pemeteraian MoU yang diadakan di Bangunan Parlimen, hari ini.

“Bersama ahli-ahli Parlimen dan pimpinan PH hari ini menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH di Parlimen.

“Kita akan berusaha sebaik mungkin demi masa depan rakyat dan negara,” katanya dalam ciapan ringkas di Twitter.

Kerajaan Persekutuan dan PH hari ini melakar sejarah apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan tandatangan memorandum persefahaman dengan PH esok

MoU yang terhasil daripada beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar sendiri.

Turut menandatangani MoU itu adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi;

  1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
  2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
  3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
  4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
  5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
  6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
  7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram