KALAU sebut rumah pusaka, selalunya ia ditakrifkan sebagai rumah peninggalan datuk dan nenek untuk waris keturunan mereka. Pernah tak korang alami perkara menakutkan di rumah pusaka? Aku ada pengalaman begitu. Kisahnya begini…

Kampung aku di Jeli, Kelantan. Aku memang jarang balik ke kampung kecuali cuti panjang seperti cuti perayaan. Aku dan adik-beradik sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur, cuma abang yang sulung masih tinggal di Kelantan bersama anak dan isterinya.

Kejadian ni berlaku pada tahun 2012 tak silap aku. Masa tu aku dan adik beradik yang lain sama-sama pulang ke kampung untuk berkumpul di rumah pusaka peninggalan datuk nenek kami.

Memang seronok sebab sudah lama kami tidak balik berkumpul di rumah pusaka dan menziarahi saudara mara di sana. Di rumah itulah kami 10 beradik dibesarkan dahulu.

Rumah pusaka itu besar, dua tingkat. Binaan bawah daripada batu dan binaan tingkat atas diperbuat daripada kayu dengan beratapkan zink.

Kami jarang naik ke tingkat atas. Biasanya kami hanya duduk di tingkat bawah kerana keadaan di tingkat atas agak panas, lagi pula lantai papannya sudah tidak berapa kuat.

Walaupun kami semua sudah tidak tinggal di situ, rumah tersebut sentiasa dijaga dengan baik. Abang sulung di kampung selalu menjenguknya walaupun dia tidak tinggal di situ lagi.  

Pendekkan cerita, sejak hari pertama kami sampai lagi, aku sudah mula nampak macam-macam perkara pelik di rumah itu. Waktu malam ketika sedang tidur beramai-ramai di ruang tamu, kami dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di atas bumbung.

Bunyi itu seperti ada sesuatu jatuh. Kebetulan tepi rumah kami memang ada pokok jambu air yang ditanam oleh arwah emak, jadi kami tidak hairan sangat dengan bunyi itu pada waktu tengah malam. Kalau tak kerana buah jambu gugur, biasanya bunyi itu angkara musang.

Tapi malam itu bunyi yang kami dengar sangat pelik, berbeza dengan kebiasaan. Belum pernah kami dengar bunyi begitu. Bunyinya seperti buah jambu gugur atas bumbung kemudian jatuh bergolek ke bawah. Tapi yang hairannya, selepas itu bunyi bergolek itu berbunyi lagi. Kali ini bunyinya bergolek naik ke atas pula.

Kadangkala kami dengar bunyi seperti sesuatu mencakar-cakar bumbung rumah kami. Bukan sekali tapi beberapa kali sampaikan kami susah hendak tidur.

Aku dan abang keluar dengan lampu suluh untuk melihat apa benda yang berbunyi tu. Tapi kami tak nampak apa-apa. Lepas itu bunyi tersebut hilang. Yang menyeramkan, bunyi itu kami dengar hampir setiap malam. Bila kami keluar tengok atas bumbung, tidak ada apa-apa pun.

Ada orang kampung cakap bunyi itu angkara hantu pocong! Kononnya hantu pocong itu berguling-guling di atas bumbung. Susah juga aku nak percaya, tapi boleh jadi betul juga sebab bunyi itu seperti ada sesuatu berguling-guling di atas bumbung rumah kami. Aku belum pernah nampak hantu pocong tu walaupun ada beberapa orang kampung bercerita pernah ternampak hantu bungkus itu di atas bumbung rumah puasaka kami.

Kami adik-beradik tidak mahu ambil kisah sangat tentang kejadian tersebut sebab kami tidak mahu rosakkan percutian kami di kampung. Lagi pun malas hendak cerita pasal hantu-hantu ini. Zaman sekolah dulu, bolehlah.

Tapi, ada satu malam tu nasib aku memang malang. Ketika aku sedang ‘melepaskan hajat’ di dalam jamban di luar rumah, tiba-tiba… DUNGGG!!! DUNGGG!!! pintu jamban diketuk.

Ketukan itu berbunyi sebanyak dua kali, bergema di pintu jamban yang diperbuat daripada zink. Aku diamkan diri sebab aku tak dengar suara sesiapa selepas bunyi ketukan itu. Kalau ada yang hendak guna jamban, tentulah orang itu bersuara, suruh cepat atau beritahu hendak guna jamban. Ini tidak, diam saja.

Aku cuba mengintai di lubang-lubang kecil yang terdapat pada pintu jamban tapi tak nampak sesiapa pun. Tak lama kemudian, bunyi ketukan itu bergema lagi, kali ini pintu jamban diketuk sebanyak tiga kali.

DUNGGG!!! DUNGGG!!! DUNGGG!!!

Aku terkejut. Aku tak dengar suara sesiapa pun yang memanggil. Aku cuba intai lagi tapi tak nampak sesiapa pun di luar.

Beberapa saat selepas itu tiba-tiba aku nampak kelibat hitam mundar-mandir dekat depan pintu jamban. Susuk tubuhnya tinggi tetapi kurang jelas, rupanya seperti bayang hitam yang pekat.

Aku tergamam, badan dah menggeletar. Berpeluh aku dalam jamban tu ketakutan. Aku bingung tak tahu nak buat apa.

Dalam takut tu, aku terus tolak pintu jamban dan menjerit lari ke dalam rumah. Abang yang sulung datang peluk aku yang tengah terjerit-jerit dan membisikkan ayat-ayat suci al-Quran di telinga aku. Selepas itu, aku pengsan!

Selepas malam yang menakutkan tu, aku mengalami satu lagi peristiwa ngeri. Kejadian yang berlaku di depan mata aku ni susah nak percaya, tapi itulah yang aku lihat semasa aku sedang berbaring di tingkat atas rumah lebih kurang pukul 11.30 malam. Masa tu memang aku seorang saja berada di situ.

Tidak lama selepas itu aku nampak Borhan, abang aku menyapu sampah di ruang atas rumah. Aku hairan tengok dia tiba-tiba rajin sangat sampaikan waktu sudah tengah malam pun masih nak menyapu lagi.

Aku tegur Borhan dan suruh dia sambung menyapu esok pagi sahaja kerana aku nak tidur. Tapi abang aku tu tak menjawab sepatah pun, dia cuma diam. Lepas tu dia memalingkan muka memandang ke arah aku.

Masa tu aku terus rasa nak pengsan sebab yang aku lihat tengah menyapu itu dah berubah wajah. Bukan lagi abang aku, tetapi makhluk berjubah putih dan berambut panjang yang menyerupai abang aku! Matanya tersembul berwarna merah memandang aku dengan wajah bengis.

Masa tu badan aku jadi lembik, tak berdaya nak buat apa-apa, nak lari pun lutut dah longlai. Aku aku buat, cuma ambil bantal dan tutup muka aku, berselubung dengan selimut sampai hari siang.

Keesokan harinya kami memanggil seorang dukun di kampung kami untuk pulihkan rumah peninggalan arwah orang tua kami. Sekeliling rumah kami ‘dipagar’ dengan taburan garam dan beras kunyit yang dijampi oleh dukun itu.

Masa dukun sedang pagarkan rumah waktu malam ketika itu, aku nampak makhluk berambut panjang dan bermata merah bertenggek di atas alang rumah. Makhluk tu merenung seakan tersenyum sebelum ia terbang keluar.

Kata dukun itu, rumah pusaka kami telah menjadi perhatian makhluk ghaib kerana sudah lama tidak berpenghuni.

**Diceritakan oleh Roslan Hamid

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam