MAJLIS menandatangani MoU kerjasama ‘dwi-partisan’ antara kerajaan dan pembangkang di Bangunan Parlimen, baru-baru ini.

KERAJAAN Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini melakar sejarah apabila julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal
Keempat Parlimen Keempat Belas hari in merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

“Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.

Ismail Sabri berkata, titah hasrat Seri Paduka ialah semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau turut merakam setinggi penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen yang telah membulatkan tekad, mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. – UtusanTV